Selasa, 22 Jun 2010

KPM jawab Belia Pewaris, Labuan

KEMENTERIAN Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk surat pembaca, ‘Belia Pewaris, Labuan’ dalam ruangan Forum akhbar Utusan Malaysia bertarikh 12 Jun 2010 yang bertajuk Nasib Jabatan Pelajaran Labuan.

Perbincangan mengenai penstrukturan Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan (JPWP) di bawah satu pentadbiran telah selesai diadakan dalam Mesyuarat Pengurusan Kementerian Pelajaran Malaysia Bil. 14/2008 pada 24 Julai 2008. Penstrukturan JPWPL di bawah JPWP ini juga telah dirujuk kepada Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan dan ulasan telah diterima melalui surat KWP(R)/PUU/907/1(5) bertarikh 7 Oktober 2005.

Penstrukturan ini juga telah dipersetujui oleh Ketua Setiausaha Negara pada satu mesyuarat khas bertarikh 25 Ogos 2008. Di samping itu, perbincangan mengenai perkara ini juga telah dibuat dengan Ahli Parlimen dan Menteri Wilayah Persekutuan pada masa itu.

Selain itu, justifikasi penstrukturan JPWP ini adalah bagi menjamin sistem pengoperasian yang lebih kemas dan berkesan dan langkah ini bertepatan dengan Wilayah Persekutuan sebagai satu negeri yang mempunyai lagu dan bendera sendiri menjadikan bendera ke-13 Persekutuan. Penstrukturan JPWP ini juga adalah untuk memperbaiki sistem penyampaian dalam pentadbiran sekali gus meningkatkan mutu perkhidmatan dan pendidikan khususnya di Labuan.

Untuk makluman, Jabatan Perkhidmatan Awam telah meluluskan penstrukturan JPWPL ini berkuat kuasa mulai 1 September 2008 melalui Waran Perjawatan Bil. S168 Tahun 2008 bertarikh 29 Ogos 2008. Melalui kelulusan tersebut, JPWPL dijenamakan semula kepada Pejabat Pelajaran Wilayah Persekutuan Labuan dan kementerian tidak mengecilkan peranan JPWP, malah gred jawatan Pengarah JPWPL telah dinaik taraf daripada Gred DG52 kepada Gred DG54 dan bergelar Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan.


Unit Komunikasi Korporat,

Kementerian Pelajaran Malaysia


Utusan Malaysia Online: 22 Jun 2010

Tiada ulasan: