Sabtu, 12 Jun 2010

Siap sedia terima murid 5 tahun


Mohd. Puad Zarkashi (tengah) menyaksikan baucar hadiah utama pemenang Pertandingan Mengarang Esei Biodiversiti 2010 di Kuala Lumpur, semalam. Turut serta ialah Mitsuru Nakata (kiri) dan Zawawi Mahmudin.


KUALA LUMPUR 11 Jun – Kementerian Pelajaran akan mula meningkatkan kemudahan dan prasarana sekolah-sekolah di seluruh negara bagi membolehkan sistem pendidikan formal seawal usia lima tahun dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10).

Timbalan Menterinya, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, pelaksanaan sistem baru itu akan dimulakan dengan penyediaan prasarana asas seperti bilik darjah, guru bertauliah serta kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

‘‘Ini merupakan usaha kerajaan untuk meningkatkan kualiti pendidikan negara setaraf dengan negara-negara maju.

‘‘Aspek berkenaan menjadi keutamaan kerajaan dalam memberi pendidikan awal yang sempurna supaya dapat melahirkan modal insan yang cemerlang,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis penyampaian hadiah Pertandingan Mengarang Esei Biodiversiti 2010 ke Jerman di sini hari ini.

Turut hadir Ahli Lembaga Pengarah Aeon Co. (M) Bhd., Datuk Zawawi Mahmudin dan Pengurus Besar Kanan Eksekutifnya, Mitsuru Nakata.

Pada majlis itu, Nena Hazigah Abdul Razak dari Sekolah Menengah Teknik (SMT) Johor Bahru; Kelly Anne Nunis dari Sekolah Ayer Keroh, Melaka dan Soe Yuan Ting dari Sekolah Convent Klang, Selangor memenangi hadiah utama pertandingan esei tersebut.

Ketiga-tiga mereka akan mengikuti program lawatan sambil belajar mengenai biodiversiti selama seminggu di Jerman.

Pelaksanaan sistem persekolahan formal seawal usia lima tahun merupakan antara perkara yang terkandung dalam RMK-10 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat semalam.

Mohd. Puad berkata, tumpuan Kementerian Pelajaran kini adalah kepada usaha membangunkan kemudahan asas di dalam kawasan sekolah supaya sistem baru itu dapat dilaksanakan secepat mungkin.

‘‘Jika kementerian berjaya menyediakan kemudahan yang diperlukan ini, kita tidak ada masalah untuk melaksanakan sistem persekolahan seawal usia lima tahun dalam jangka masa terdekat,” katanya.

Utusan Malaysia Online: 12 Jun 2010

Tiada ulasan: