Isnin, 14 Jun 2010

Masuk sekolah lima tahun dilaksana akhir RMKe-10

2010/06/14

KUALA BERANG: Sistem pendidikan formal seawal usia lima tahun dijangka dilaksanakan sepenuhnya pada akhir Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10), selepas Kementerian Pelajaran menyediakan prasarana, termasuk bekalan elektrik 24 jam serta air bersih.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata sistem berkenaan adalah satu rancangan besar dan ia tidak boleh dilaksanakan secara tergesa-gesa.

"Peringkat awal RMKe-10 akan dimulakan dengan penyediaan prasarana asas seperti bilik darjah dan melantik guru bertauliah, selain menyediakan kemudahan lain secara berperingkat.

"Ia adalah usaha kerajaan untuk meningkatkan mutu pendidikan negara setaraf negara maju dan mengelak berlakunya keciciran dari peringkat awal lagi," katanya selepas majlis penyerahan wang pendahuluan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan sumbangan kecemerlangan peperiksaan awam peringkat Parlimen Hulu Terengganu 2010 di sini, semalam.

Hadir sama Yang Dipertua Dewan Undangan negeri, Datuk Tengku Putera Awang; Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Mohd Nor Othman dan Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Ajil, Datuk Rosol Wahid.

Beliau mengulas persediaan kementerian untuk melaksanakan sistem persekolahan formal seawal usia lima tahun seperti terkandung dalam RMKe-10 (2011-2015) yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Parlimen, Khamis lalu.

Mohd Puad berkata, tumpuan kementeriannya kini ialah usaha membangunkan kemudahan asas di sekolah seluruh negara, selain memastikan semua guru prasekolah terdiri daripada mereka yang mempunyai diploma dan ijazah.
"Untuk kawasan terpencil seperti di Sabah dan Sarawak, kerajaan akan membina kemudahan prasekolah di rumah panjang dan kerajaan mensasarkan 70 peratus kanak-kanak memasuki prasekolah seluruh negara pada 2012," katanya.

Berita Harian Online: 14 Jun 2010

Tiada ulasan: