Jumaat, 4 Jun 2010

Jawatankuasa khas sedia cadangan kurangkan beban guru di sekolah

2010/06/04

MERUJUK surat pembaca oleh ‘Guru C2 1976, Batu Pahat, Johor’, dalam akhbar ini pada 13 Mei lalu bertajuk ‘Pegawai berjawatan tinggi lagak mandur, beri tugas bebankan guru.’

Penulis surat itu berpendapat beban tugas guru berpunca pelbagai arahan daripada pihak atasan seperti pegawai di Pejabat Pelajaran Daerah (PPD), Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan Kementerian Pelajaran yang diterima oleh pihak sekolah untuk dilaksanakan guru, selain tugas hakiki.
Penulis juga mencadangkan pegawai di PPD, JPN dan kementerian ditempatkan semula di sekolah sebagai usaha mengurangkan tugas guru. Kementerian Pelajaran sentiasa memberi perhatian terhadap kebajikan guru terutama dalam usaha mengurangkan tugas di sekolah.

Dengan perkembangan dan perubahan dalam sistem pendidikan, pelbagai dasar digubal bagi meningkatkan lagi kualiti pendidikan.

Peranan pegawai di PPD dan JPN untuk menjalankan pemantauan kepada pelaksanaan dasar dan program pendidikan. Sokongan warga pendidik diperlukan dalam membantu melaksanakan semua dasar berkaitan.

Bagaimanapun, kementerian menubuhkan jawatankuasa khas yang meneliti tugas diberi kepada guru di sekolah dan seterusnya akan mencadangkan langkah penambahbaikan bagi memastikan guru hanya menumpukan perhatian kepada mendidik. Jawatankuasa itu sudah menggariskan cadangan bagi mengurangkan tugas guru.

Antaranya mengurangkan murid bagi setiap kelas, mengurangkan jawatankuasa pada peringkat sekolah kepada jumlah lebih wajar, mengkaji semula bilangan peperiksaan dan ujian, menyusun semula tugas perkeranian, menyelaras kursus guru pada peringkat kementerian supaya tiada pertindihan dan memastikan guru ganti bagi mengisi kekosongan untuk guru cuti bersalin atau berkursus bagi tempoh lama.
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT,
Kementerian Pelajaran

Berita Harian Online: 4 Jun 2010

Tiada ulasan: