Rabu, 23 Jun 2010

Jejas keistimewaan

Oleh Basir Zahrom
basir@bharian.com.my
2010/06/23

KESATUAN Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) menganggap usaha kementerian untuk menyelesaikan masalah perjawatan 24,000 guru kumpulan DG29 dalam tempoh dua tahun terlalu lama.

Kelewatan itu kata Presidennya, Mohamad Sabri Mohd Arsad, menjejaskan kenaikan pangkat dan keistimewaan kumpulan berkenaan.

Beliau berkata, jika kelewatan itu disebabkan faktor kewangan kerana perlu menganjurkan kursus, masalah berkenaan boleh diatasi dengan mengadakannya di tempat yang tidak menggunakan perbelanjaan tinggi.

Antara lokasi alternatif ilihan katanya, di Institut Pendidikan Guru, universiti awam (ketika cuti semester) atau Institut Tadbiran Awam Negara seluruh negara kerana kos pengurusan lebih rendah.

“Kumpulan pertama 5,000 guru berkenaan akan dipanggil mengikuti kursus induksi berkenaan tahun ini. Bakinya tahun seterusnya. Jumlah yang dipanggil terlalu kecil dan keadaan ini melambatkan proses pengesahan jawatan.

“Guru berkenaan perlu mengikuti kursus bagi menerangkan kepada mereka mengenai tanggungjawab hakiki yang menjadi syarat pengesahan jawatan,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, dilaporkan sebagai berkata, kementerian akan menyelesaikan masalah pengesahan jawatan 24,000 guru kumpulan berkenaan secara berperingkat.
Katanya, proses pengesahan itu dijangka mengambil masa selama dua tahun. Jika tahun ini 5,000 guru mengikutinya masing-masing masih berada dalam tempoh dua tahun selepas lantikan.

Mengulas kekurangan guru Program Jawi, Quran dan Fardu Ain (j-QAF), pula, Mohamad Sabri berkata, pihaknya menyokong keputusan kementerian meneruskan usaha mengambil guru berkenaan di kalangan graduan universiti berteraskan Islam dari luar negara dan tempatan.

Pengambilan guru tambahan kata beliau perlu disegerakan kerana ketika ini guru j-QAF dibebani tugas yang mencecah sehingga 30 ke 32 waktu seminggu. Waktu tambahan itu begitu membebankan berbanding 24 hingga 26 waktu seminggu.

Guru berkenaan juga katanya, terbabit dengan Kem Solat Bestari setiap hujung minggu yang mana aktiviti ini tidak boleh dilaksanakan guru biasa.

Mengulas tuntutan perjalanan guru diperuntukkan RM30 sebulan sejak awal tahun ini, Mohamad Sabri berkata, KGMMB faham dengan masalah berkenaan dan akan mencari alternatif bagi memastikan guru diberi imbuhan sewajarnya.

Beliau berkata, pihaknya faham kekangan kewangan kerajaan, namun perkara itu perlu diberi perhatian serius kerana membabitkan kebajikan guru secara keseluruhan.

“Sebagai usaha mengurangkan kos pengurusan, masing-masing disaran menganjurkan seminar mahupun bengkel di sekolah masing-masing. Segala dasar boleh disampaikan terus melalui pihak pentadbiran sekolah,” katanya.

Berita Harian Online: 23 Jun 2010

Tiada ulasan: