Isnin, 9 Mac 2009

Guru adalah pendidik, bukannya polis

Isu membuli di sekolah kembali mendapat tempat dalam media massa selepas video membuli pelajar-pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Oya, Sarawak disiarkan dalam Youtube.

Rentetan dari peristiwa itu, timbul pelbagai cadangan sama ada dari jabatan kerajaan, individu atau pertubuhan bukan kerajaan mengenai langkah-langkah yang pelu diambil bagi mengatasi masalah ini.

Sementara keprihatinan masyarakat dalam isu ini adalah baik, namun sikap segelintir anggota masyarakat yang tidak memahami gejala buli dan menyamakannya dengan gangsterisme adalah tidak wajar.

Gangster merujuk kepada penjenayah yang menjadi ahli sesuatu kumpulan jenayah. Tentulah tidak wajar untuk melabelkan pelajar yang melakukan salah laku disiplin di sekolah sebagai penjenayah.

Kita harus memahami bahawa buli ialah satu fenomena global. Buli bukan sahaja berlaku di negara ini tetapi juga di sekolah-sekolah di luar negara. Dianggarkan seramai 30 peratus pelajar sekolah di Amerika Syarikat pernah membuli atau menjadi mangsa buli. Sementara, seramai 20% pelajar di Australia dilaporkan terlibat dalam gejala ini.

Isu ini menarik minat pelbagai pihak untuk mengkaji. Penyelidik-penyelidik di Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), umpamanya, telah membangunkan indeks bagi mengukur perlakuan buli di kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah di negara ini.

Usaha ini adalah baik kerana ia membolehkan masyarakat melihat isu membuli ini secara rasional dan sistematik. Kementerian Pelajaran sewajarnya memanfaatkan kepakaran ini untuk membantu menangani kes-kes buli; sama ada yang dilaporkan dalam media massa atau sebaliknya.

Secara ringkasnya, buli ialah merupakan satu bentuk penyalahgunaan (abuse). Buli boleh berlaku dalam bentuk langsung (direct) seperti ejekan, ugutan, tekanan atau tindakan fizikal. Selain itu, buli juga boleh berlaku dalam bentuk yang tidak langsung (indirect) yang menyebabkan seseorang pelajar terpinggir dari kawan-kawannya.

Pelajar lelaki secara tipikal terlibat dalam buli berbentuk langsung, manakala pelajar perempuan membuli dengan cara tidak langsung seperti menyebarkan gosip atau melakukan pemisahan sosial (social isolation).

Seseorang menjadi pembuli kerana marahkan sesuatu, pernah dibuli, mempunyai keyakinan diri yang rendah, ingin berasa hebat dengan mengawal orang lain dan pelbagai faktor lagi.

Mangsa buli pula mempunyai ciri-ciri seperti malu, sensitif atau tidak yakin dengan diri sendiri. Dalam kes-kes tertentu, mereka menjadi mangsa disebabkan fizikal seperti gemuk, berbadan kecil atau kecacatan fizikal.

Walau apa pun kaedah membuli dan siapa yang menjadi mangsa buli, ia memberikan kesan psikologi yang mendalam kepada pelajar. Atas sebab itulah maka gejala membuli ini harus ditangani dengan bijak oleh ibu bapa dan pendidik.

Sementara hukuman keras boleh dipertimbangkan sebagai kaedah menangani buli, ia tidak semestinya merupakan satu pendekatan yang efektif. Dalam keadaan di mana hukuman tidak dilaksanakan secara yang adil dan dilihat adil, ia boleh meninggalkan kesan yang negatif kepada pelajar.

Lantaran itulah, maka ibu bapa dan pendidik disarankan untuk menerokai lain-lain pendekatan termasuklah kaedah pendidikan bagi menangani masalah buli ini.

Antara pendekatan yang boleh diambil ialah melengkapkan pelajar dengan skil komunikasi sosial yang baik. Salah satu kritikan yang diberikan terhadap Generasi Y dan Generasi Z (rata-rata mereka merupakan pelajar sekolah menengah dan rendah sekarang) ialah mereka kegersangan skil komunikasi sosial yang efektif.

Beberapa skil komunikasi sosial yang diperlukan ialah pengurusan konflik (conflict resolution), pengurusan kemarahan (anger resolution), skil asertif (assertive skills) dan skil perundingan (negotiation skills).

Skil yang disebutkan di atas boleh menyediakan pelajar yang berpotensi membuli atau bakal menjadi mangsa buli untuk menangani masalah tersebut.

Selain itu, pelajar juga harus dilibatkan dengan gaya hidup positif di dalam dan di luar persekitaran sekolah. Dengan cara ini, mereka akan terdedah kepada kehidupan yang lebih luas dan ini dapat membantu mematangkan pelajar.

Walaupun pelajar didedahkan kepada gaya hidup positif melalui aktiviti berstruktur sama ada kelab atau persatuan beruniform di sekolah, namun kelemahan yang ketara ialah aktiviti ini lebih berpusatkan kepada guru, bukannya pelajar. Dalam keadaan ini, aktiviti tersebut tidak banyak membantu pelajar menguasai skil-skil komunikasi sosial yang diperlukan.

Akhir sekali, pengurusan isu membuli ini haruslah dilihat dari perspektif yang betul. Ia bukanlah sesuatu yang berlaku secara bermusim, dan pelajar yang terlibat tidak wajar dilihat sebagai gangster yang harus dijatuhkan hukuman bunuh.

Seperti juga lain-lain salah laku pelajar, sebarang hukuman yang hendak dilaksanakan kepada pembuli hendaklah dengan penuh kasih-sayang dan bertujuan mendidik.

Guru bukanlah polis, pendakwa dan hakim. Mereka ialah pendidik!

Utusan Malaysia Online: 8 Mac 2009

Tiada ulasan: