Isnin, 9 Mac 2009

Didalangi pembangkang

KUALA LUMPUR 8 Mac – Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, perhimpunan membantah pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) jelas didalangi pembangkang berdasarkan penyertaan beberapa pemimpin mereka pada demontrasi jalanan semalam.

Beliau berkata, berdasarkan apa yang berlaku jelas memperlihatkan bahawa pertimbangan mereka bukanlah bersandarkan perjuangan pendidikan kerana sanggup melanggar undang-undang, mengaitkan institusi istana dan mencemarkan imej masjid.

“Saya lihat ada hikmah di sebalik apa yang berlaku semalam.

“Sekurang-kurangnya orang ramai dapat melihat sendiri apa yang saya sudah tahu lama, iaitu di belakang gerakan ini ada dalang-dalang yang sanggup mengeksploitasi apa juga isu, memperalatkan sesiapa sahaja demi agenda politik sempit mereka.

“Saya tidak bermaksud semua yang terlibat (pertimbangan bukan berdasarkan kepentingan pendidikan) tetapi adakalanya mereka ini diperalatkan untuk kepentingan tertentu,” katanya ketika mengulas kejadian itu pada sidang media di kediamannya di sini.

Perhimpunan anjuran Gerakan Memansuhkan PPSMI (GMP) semalam menjadi kecoh setelah penyokong-penyokong terbabit berarak dari Masjid Negara ke Istana Negara walaupun tidak mendapat permit polis untuk berbuat demikian.

Perhimpunan yang asalnya bertujuan menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong turut disertai beberapa pemimpin pembangkang termasuk Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang selain segelintir peserta perarakan yang dilihat memakai pakaian dan membawa logo beberapa parti pembangkang.

Hishammuddin yang juga Ketua Pemuda UMNO turut menolak andaian bahawa demonstrasi jalanan itu didalangi individu dalam UMNO sendiri bertujuan menjatuhkan beliau pada pemilihan agung parti hujung bulan ini.

“Tidak. Kita dalam UMNO semua dididik untuk meletakkan kepentingan ramai lebih penting dan kedua, semalam saya tengok (dalam televisyen) tidak ada muka-muka yang saya cam macam orang UMNO, tetapi muka pembangkang ramai,” katanya.

Pada sidang media itu, Hishammuddin juga sekali lagi menegaskan bahawa sebarang keputusan berhubung pelaksanaan PPSMI terletak di tangan Kabinet dan bukannya kementerian itu.

“Keputusan muktamad bukan daripada kementerian ini tetapi pada jemaah menteri. Tugas kementerian adalah untuk meneliti, mengkaji dasar ini selepas keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) Disember lepas. Masa dua setengah bulan bukannya jangka masa yang panjang untuk menentukan hala tuju dasar yang melibatkan jutaan pelajar, ratusan ribu guru dan puluhan ribu sekolah,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, kertas Kabinet PPSMI telah pun berada di peringkat akhir dan dijangka dibentangkan kepada Kabinet tidak lama lagi.

“Saya harap orang ramai akan memberi seluas-luasnya peluang kepada kita untuk membuat keputusan berdasarkan fakta, angka dan kajian daripada hanya membuat satu kesimpulan berdasarkan emosi dan demonstrasi seperti mana yang kita lihat dilakukan semalam,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu Kementerian Pelajaran mengambil keputusan segera berhubung isu PPSMI bagi mengelakkan isu itu menjadi lebih besar.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada kejadian semalam boleh memberi impak kepada imej beliau sebagai calon Naib Presiden pada pemilihan UMNO kelak, Hishammuddin berkata, dia tidak melihatnya sebegitu.

“Apa yang dipikul merupakan satu amanah dan tanggungjawab, yang melebihi kepentingan diri. Selaku menteri saya mesti membuat keputusan yang baik demi anak-anak kita,” katanya.

Beliau berkata, di sebalik keriuhan yang dibangkitkan sesetengah pihak, masih ada golongan yang menyokong dasar berkenaan dan untuk itu kementerian berharap dapat membuat keputusan terbaik bersandarkan keadaan sebenar yang berlaku di peringkat akar umbi. – BERNAMA

Utusan Malaysia Online: 9 Mac 2009

Tiada ulasan: