Isnin, 9 Mac 2009

Warden di semua sekolah

BATU PAHAT 7 Mac - Kementerian Pelajaran dijangka mewujudkan warden tetap di semua sekolah berasrama penuh bagi memantapkan lagi pengawasan ke atas pelajar.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, warden tersebut bukan daripada kalangan pegawai penjara atau guru sebaliknya pakar dalam beberapa bidang termasuk penjagaan disiplin, kaunseling dan psikologi.

Menurutnya, warden berkenaan akan tinggal di kawasan asrama dan bertanggungjawab penuh terhadap pengawasan dan disiplin semua pelajar.

"Pada masa ini tiada warden tetap di semua sekolah berasrama dan tanggungjawab itu dipikul oleh guru yang dibayar elaun khas oleh kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung dan Hari Anugerah Cemerlang di Sekolah Menengah Kebangsaan Yong Peng di sini hari ini.

Beliau mengulas kegiatan buli pelajar termasuk di sekolah berasrama penuh yang semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.

Ka Siong berkata, cadangan mewujudkan warden tetap itu akan dibangkitkan pada perjumpaan pengarah-pengarah pelajaran dengan beberapa pihak termasuk polis bagi mencari kaedah baru untuk mendisiplinkan para pelajar di Kuala Lumpur pada 17 Mac ini.

Mengenai gesaan beberapa pihak agar guru-guru dibenarkan merotan pelajar, beliau berkata, perkara itu pernah dibincangkan dua tahun lalu tetapi tidak dapat dilaksanakan kerana percanggahan pendapat.

"Ada pihak yang bersetuju dan pada masa sama ramai pula termasuk pihak pembangkang yang membantahnya," katanya.

Menurutnya, perkara penting kini ialah usaha memantapkan kaedah disiplin pelajar menerusi pelbagai cara agar masalah disiplin tidak terus berleluasa di sekolah-sekolah.

Kata beliau, hukuman merotan pelajar hanya dibenarkan kepada pengetua dengan disaksikan seorang pegawai kanan sekolah iaitu membabitkan kes disiplin terlalu serius.

"Soalnya, adakah dengan merotan itu kita dapat menyelesaikan segala masalah," katanya.

Utusan Malaysia Online: 8 Mac 2009

Tiada ulasan: