Rabu, 4 Mac 2009

Rancang kewangan bermula di sekolah


RAHMAH ABD. HAJI

Wang saku atau belanja sekolah yang diberi oleh ibu bapa tidak semestinya dihabiskan untuk berbelanja sebaliknya boleh dibuat tabungan secara berdikit-dikit.

Kesedaran inilah menjadikan para pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sg Besi, Kuala Lumpur mula berazam merancang kewangan masing-masing untuk masa hadapan.

Ia bermula apabila pihak sekolah dan Great Eastern Life Assurance (Malaysia) Berhad mengadakan kerjasama untuk mempromosikan kesedaran kewangan dalam kalangan pelajar sekolah melalui siri ceramahnya.

Pengetua SMK Sg. Besi, Rahmah Abd. Haji, 52, berkata, sejak awal lagi pihak sekolah telah mengadakan kerjasama dengan institusi kewangan.

``SMK Sg Besi yang merupakan sekolah angkat kepada syarikat Great Eastern Life Assurance (Malaysia) Berhad melihat kerjasama ini sebagai salah satu usaha mendedahkan pelajar terhadap kesedaran kewangan terutama apabila telah berkerjaya,’’ katanya.

Sekolah berkenaan yang mempunyai 1,900 pelajar memberi tumpuan kepada para pelajar dari aliran ekonomi, perdagangan dan perakaunan.

``Kita mahu warga sekolah termasuk guru mengikuti perkembangan semasa terutama dalam keadaan ekonomi sekarang supaya mereka mampu menjadi individu yang cemerlang,’’ katanya.

Antara objektif kerjasama itu juga adalah untuk memberi kesedaran kepada pelajar mengenai kepentingan pengurusan kewangan yang sistematik, mendedahkan cara menabung simpanan dan pelaburan, memperkenalkan bentuk-bentuk institusi kewangan di Malaysia.

Selain itu, ia juga bertujuan memberi pengetahuan mengenai perkhidmatan institusi kewangan negara dan memberi maklumat tentang peluang pekerjaan dalam bidang kewangan.

Mohamad Hafidz Selamat, 17, berkata, ceramah berkenaan adalah yang pertama dihadiri dan merasakan ia amat baik untuk pelajar mempelajari rancangan kewangan.

``Ia turut mendedahkan kita cara menguruskan diri apabila berkerjaya, tips menarik untuk belajar dan kesedaran untuk mengurus kewangan untuk pelbagai tempoh sama jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang,’’ katanya.

Chen Kok Hong, 17, pula berpendapat ceramah itu baik untuk dapat menambah pengalaman selain menyedarkan pelajar perancangan selepas tamat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

``Ia mendidik kita mengenai kebijaksanaan mengurus kewangan terutama untuk masa kecemasan,’’ katanya.

Hasil daripada menghadiri seminar itu, Kok Hong telah mempunyai perancangan kewangan bila berkerjaya nanti iaitu dengan meletakkan sebanyak 60 peratus pendapatan untuk simpanan, 20 peratus untuk ibu bapa, 20 peratus untuk diri sendiri.

Bagi Ainur Atiqah Hazaman, 17, ceramah itu memberi keyakinan untuknya menguruskan kewangan dengan betul.

``Ia mendidik kita ke mana wang kita hendak disimpan, dilabur dan jangka masa simpanan selain memberi tips untuk berjaya, tidak boros dan tidak mengharapkan ibu bapa semata-mata untuk kewangan,’’ katanya.

Rakannya R. Nagajothy, 17, pula memberitahu bahawa dia akan mula membuat simpanan mengikut tempoh tertentu berdasarkan tips yang diberi oleh syarikat berkenaan.

``Namun yang penting saya mahu belajar sehingga ke peringkat tertinggi dahulu sebelum bekerja,’’ katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan, Bahagian Sumber Manusia, Great Eastern Life Assurance (Malaysia) Berhad, Nancy Lim berkata, pihaknya amat menghargai inisiatif Bank Negara Malaysia (BNM untuk mempromosikan kesedaran kewangan kepada para pelajar sekolah rendah dan menengah.

Kesedaran ini akan membantu para pelajar untuk menguruskan kewangan dengan cara yang betul dan memperoleh kebebasan kewangan dalam kerjaya serta apabila berkeluarga nanti.

``Kami berbangga menjadi sebahagian dari inisiatif BNM yang memberi peluang untuk kami berinteraksi dengan generasi muda ini tentang kepentingan perancangan kewangan dan bagaimana insurans membantu dalam kehidupan seharian mereka,’’ katanya.

Kesedaran itu amat penting terutama ketika keadaan ekonomi yang tidak menentu justeru para pelajar harus sedar tentang kepentingan menyimpan dan melabur bagi membantu ketika menghadapi krisis kewangan.

``Kami berharap kesedaran kewangan ini dapat membantu pelajar menghargai keperluan perancangan kewangan ibu bapa mereka,’’ katanya.

Dalam pada itu, Penolong Naib Presiden Bahagian Pembangunan Sumber Manusia Great Eastern Life Assurance (M) Berhad, S. Sumathy berkata, selain daripada pelajar, ceramah itu turut membantu meningkatkan kesedaran guru tentang perancangan kewangan.

``Selalunya para pelajar hanya mengenali Takaful tetapi tidak menyedari tentang insurans hayat, pelaburan dan pelbagai cara untuk menyimpan wang,’’ katanya.

Melalui ceramah itu, para pelajar dan guru diajar mengenai tabungan jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang, impian sumber pendapatan dan merancang perbelanjaan seharian dan keperluan masing-masing.

Selepas sesi ceramah para pelajar akan diuji dengan kuiz sumber pendapatan, aktiviti berkumpulan dan latihan-latihan mengenai tips yang dipelajari semasa ceramah itu.

Portal Pendidikan Utusan: 3 Mac 2009

Tiada ulasan: