Khamis, 5 Mac 2009

Program pertukaran guru Malaysia-Thailand


PUTERI Maha Chakri Sirindhorn (tengah) diberi penerangan mengenai pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris oleh Alimuddin Md. Dom (kiri) semasa lawatan ke SMK Tunku Putra Padang Matsirat, Langkawi, semalam. - UTUSAN / ISMAIL KAMADIN


LANGKAWI 3 Mac - Malaysia akan menjalin lebih banyak kerjasama dalam bidang pelajaran dengan Thailand termasuk merangka program pertukaran guru bagi penambahbaikan mutu pembelajaran di antara kedua-dua negara.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom berkata, menerusi program tersebut, guru-guru Malaysia akan dapat mempelajari kemahiran tertentu daripada negara itu khususnya dalam tiga bidang melibatkan teknik, vokasional dan kerja tangan.

''Malaysia boleh menghantar guru-guru ke Thailand menerusi program pertukaran untuk mempelajari bidang-bidang ini.

''Di samping itu, guru-guru Thailand juga mahir dalam pendidikan khas khususnya dalam pembelajaran bagi orang cacat penglihatan dan pekak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis lawatan Puteri Raja Thailand, Puteri Maha Chakri Sirindhorn ke Sekolah Kebangsaan Seri (SK) Negeri dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Putra di sini hari ini.

Mengiringi lawatan berkenaan ialah Puteri Sultan Kedah, Datuk Seri Tunku Puteri Intan Safinaz dan Datuk Seri Tunku Soraya Tuanku Abdul Halim Mua'dzam Shah.

Selain itu, kata beliau, kementerian juga merangka jalinan hubungan antara sekolah-sekolah kluster di negara ini dengan sekolah-sekolah pintar di Thailand untuk meningkatkan kualiti pelajar kedua-dua negara.

Beliau memberitahu, Puteri Raja Thailand yang juga Pengerusi Eksekutif Yayasan Chaipattana itu turut berminat dengan Sistem Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris dan meminta kerjasama mendapatkan bahan rujukan terutama buku-buku teks bidang berkenaan.

''Tuanku Puteri mempunyai tujuh buah sekolah angkat di bawah yayasan berkenaan dan dua daripadanya mempunyai hubungan erat dengan Langkawi," kata beliau.

Utusan Malaysia Online: 4 Mac 2009

Tiada ulasan: