Selasa, 21 Julai 2009

125,000 tidak bersekolah

Oleh Johari Ibrahim
Joib@bharian.com.my

Kerajaan tingkat prasarana elak jurang pendidikan kota, desa

SEPANG: Lebih 125,000 kanak-kanak yang mencapai umur persekolahan tercicir daripada alam persekolahan di luar bandar dan pedalaman, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Berikutan itu, Timbalan Perdana Menteri berkata, banyak lagi usaha perlu dilakukan bagi memastikan semua rakyat berpeluang dan keupayaan yang sama untuk mencapai akses kepada pendidikan.

"Kementerian Pelajaran juga perlu melipatgandakan usaha menyediakan infrastruktur, terutama kepada sekolah luar bandar untuk merapatkan jurang kerana pendidikan di Malaysia sudah mencapai tahap kemajuan yang memberangsangkan," katanya pada perasmian Bengkel Kajian Semula Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010, di sini semalam.

Bengkel yang dihadiri 140 pegawai kanan kementerian antara lain menumpukan kepada cadangan strategi pelaksanaan, pelan tindakan dan program Bidang Keberhasilan Utama Negara (N-KRA), Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Menteri Pelajaran, kementerian dan Ketua Setiausaha kementerian serta perubahan dasar pendidikan negara.

Ia membabitkan penambahbaikan PIPP, termasuk cadangan berkaitan dasar yang perlu dikekalkan atau digugurkan serta dasar baru pelan strategik dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata usaha kerajaan merapatkan jurang pendidikan selaras matlamat Pendidikan Untuk Semua yang disasarkan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik, dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

"Teras merapatkan jurang pendidikan amat penting bagi usaha melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggung jawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri seterusnya menyumbang kepada keharmonian dan kemakmuran masyarakat serta negara," katanya.

Mengenai kemajuan PIPP, Muhyiddin berkata sehingga Disember lalu, 6,386 projek berjaya disiapkan daripada sasaran 13,014 projek pembangunan membabitkan peruntukan RM25.2 bilion.

Selain itu, 2,348 kelas prasekolah diwujudkan di luar bandar, pembinaan 2,257 makmal komputer dan 3,600 Pusat Akses di luar bandar yang memberi manfaat kepada 2.8 juta pelajar.

Beliau juga berkata, Malaysia berada pada tangga ke-45 daripada 129 negara dalam Indeks Pembangunan Pendidikan Untuk Semua (EDI) mengikut Laporan Global Pemantauan Pendidikan Untuk Semua 2009 yang dikelolakan Unesco.

Muhyiddin berkata penyediaan prasarana pendidikan yang baik adalah kunci kepada peningkatan akses, ekuiti dan kualiti pendidikan luar bandar yang juga antara keutamaan kerajaan.

Justeru, beliau berkata pembangunan infrastruktur pendidikan perlu diteruskan memandangkan masih ada sekolah daif dan usang serta tidak mempunyai bekalan elektrik, air terutama di pedalaman.

Selain itu, satu dasar penempatan guru yang memenuhi keperluan rakyat perlu disediakan dalam usaha memberi penekanan kepada melahirkan guru berkualiti dan mencukupi untuk ditempatkan terutama di pedalaman dan luar bandar.

Beliau berkata dasar berkenaan selaras perkembangan pendidikan global, mengurangkan jurang pendidikan bandar dan luar bandar, menepati gagasan 1Malaysia serta merealisasikan KPI kementerian.

Berita Harian Online: 21 Julai 2009

Tiada ulasan: