Oleh Basir Zahrom
basir@bharian.com.my
JURULATIH goalball SMPK Setapak, Abdul Karim Rahan (kanan) melatih pelajar yang akan mewakili negara ke Kejohanan Sukan Kurang Upaya Paralimpik 2009 di Tokyo. |
Guru SMPK Setapak gigih berusaha lahir pelajar istimewa cemerlang, capai sasaran sekolah terbilang
BERPEGANG cogan kata Berusaha dan Berdikari, guru Sekolah Menengah Pendidikan Khas (Cacat Penglihatan) Setapak, Kuala Lumpur, berusaha keras bagi merealisasikan visi melahirkan pelajar cemerlang dan muncul sekolah terbilang menjelang 2010.
Pengetuanya, Che Fatimah Che Abdullah, berkata sekolah itu juga bercita-cita tergolong dalam kumpulan Sekolah Kluster dengan kebitaraan tersendiri pada masa akan datang.
Bagi mencapai matlamat itu, guru sekolah berkenaan tanpa mengenal erti jemu mengajar dan bersabar menghadapi segala kesulitan serta cabaran menjalankan tanggungjawab sebagai pendidik di sekolah pendidikan khas itu.
“Antara cabaran dihadapi ialah mengendalikan pelajar mengalami kecacatan tambahan seperti kanser, hiperaktif, sakit jantung serta ketumbuhan, tambahan pula kurang bahan bantu mengajar, buku teks braille dan guru pendidikan khas terlatih.
“Sikap segelintir ibu bapa yang tidak menghiraukan anak mereka di sini dan membeza-bezakan pelajar juga antara cabaran guru di sini.
“Semuanya ditangani dengan matang dan kami mendidik mereka secara individu. Semua pelajar Tingkatan Satu hingga Lima tinggal di asrama dan diberi pendidikan agama dan moral sebaiknya,” katanya ketika ditemui Berita Harian, baru-baru ini.
Beliau berkata, sekolah diterajuinya sejak 2004 itu menerima kebanyakan pelajar dari Sekolah Kebangsaan (SK) Pendidikan Khas (Cacat Penglihatan) Jalan Batu, Kuala Lumpur; SK Pendidikan Khas (Penglihatan) Alma, Pulau Pinang; SK Pendidikan Khas Princess Elizabeth, Johor dan SK Pendidikan Khas (Buta) Kuching, Sarawak.
Pada awal pembukaannya pada April 1974, Che Fatimah menjelaskan sekolah itu berperanan sebagai asrama pusat bagi murid cacat penglihatan dari seluruh negara dan pelajar Brunei bersekolah di sekitar Kuala Lumpur melalui program Rancangan Percantuman.
Bagaimanapun tiga tahun kemudian, katanya, ia bertukar menjadi satu-satunya sekolah menengah khas cacat penglihatan sehingga sekarang.
“Kini, kami mempunyai 129 pelajar dengan 41 guru, selain 21 kakitangan sokongan. Selain itu, pelajar Tingkatan Enam yang meneruskan pengajian menerusi program Rancangan Percantuman di Sekolah Menengah St John turut ditempatkan di sini,” katanya.
Mengenai usaha dilakukan bagi meningkatkan peranan sekolah itu, beliau berkata, antaranya melatih guru baru atau yang kurang mahir dengan tulisan braille oleh lima guru cacat penglihatan dan menghasilkan buku nota braille sendiri.
Dalam bidang kokurikulum, Che Fatimah berkata, sekolah itu giat melatih pasukan Goalball dan olahraga untuk mewakili negara ke Kejohanan Sukan Kurang Upaya Paralimpik 2009 di Tokyo pertengahan September depan.
“Goalball sukan paling menonjol di sekolah ini, ia adalah sejenis permainan untuk golongan cacat penglihatan menggunakan bola berloceng sebesar bola jaring seberat 1.25 kilogram yang dibaling ke gol pihak lawan.
“Pasukan Goalball kami pernah menduduki tempat kedua Piala Datuk Bandar Majlis Perbandaran Petaling Jaya tahun lalu. Selain itu, pasukan sekolah kami pernah menewaskan pasukan dewasa normal.
“Ketika menyertai Sukan Sea lalu, pelajar kami meraih emas acara catur bagi kategori paralimpik, manakala di peringkat kebangsaan pula johan keseluruhan olahraga pendidikan khas kategori cacat penglihatan," katanya.
Sepanjang 22 tahun penubuhan sekolah itu, banyak kejayaan dicapai sama ada di peringkat jabatan, negeri dan kebangsaan.
Antaranya Sekolah Cemerlang Pendidikan Khas (2006), Guru Cemerlang Pendidikan Khas (2006), Guru Cemerlang Kokurikulum (2007), Murid Cemerlang Kokurikulum (2007), 50 Koperasi Terbaik Seluruh Negara (2006 dan 2008).
Johan Tilawah al-Quran (Perempuan-2008), Johan Anugerah Nilam Kategori Pendidikan Khas (2008), Calon Murid Cemerlang Penilaian Menengah Rendah Calon Istimewa (2007) dan Pencapaian Sijil Pelajaran Malaysia Terbaik Sekolah Berpotensi (2007).
Walaupun kekurangan dari segi penglihatan, Che Fatimah berkata, ramai daripada mereka berjaya ke menara gading seterusnya menjadi peguam, pensyarah, tahfiz al-Quran dan guru.
Berita Harian Online: 22 Julai 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan