SEREMBAN 21 Julai - Guru besar perlu mempunyai aspek kepimpinan dan pengurusan berkualiti dalam menguruskan pembelajaran formal dan tidak formal di sekolah masing-masing, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Perdana Menteri berkata, melalui amalan itu kualiti pelajar akan dapat dijana di samping mementingkan budaya ilmu dan pembelajaran sepanjang hayat.
''Kualiti pendidikan di sekolah amat bergantung kepada keterampilan dan profesionalisme yang dimiliki oleh guru besar dan guru.
"Kualiti bukanlah satu destinasi tetapi satu perjalanan yang berterusan," ujarnya.
Muhyiddin berkata demikian sewaktu berucap merasmikan Konvensyen Pendidikan Guru Besar Malaysia Ke-15 dan Persidangan Perwakilan Kebangsaan Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia Ke-27 di Klana Resort di sini.
Hadir sama Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Yang Dipertua Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia, Ruslan Madon.
Persidangan yang berlangsung selama tiga hari itu mengumpulkan hampir 500 peserta yang mewakili lebih 7,600 guru besar seluruh negara.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran juga menggesa seluruh kepimpinan dalam bidang pendidikan melakukan perubahan sosial dengan mengenal pasti kelemahan dan seterusnya mengambil pendekatan strategik untuk menanganinya.
Dalam ucapan itu juga, beliau mahu setiap warga pendidik mengikis keraguan tentang keupayaan sekolah kebangsaan dalam memberi dan menyediakan pendidikan berkualiti.
"Kita harus mempunyai keyakinan penuh bahawa sekolah kebangsaan adalah wadah terbaik untuk memupuk perpaduan dan membangunkan potensi diri para pelajar secara holistik," tegasnya.
Utusan Malaysia Online: 22 Julai 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan