Isnin, 13 Julai 2009

Henti polemik pemansuhan PPSMI

IBARAT rumah siap pahat berbunyi. Begitulah juga dengan keputusan kerajaan pada 8 Julai lalu yang menghapuskan dasar 'silap' Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).

Masih ada pihak yang menentang pemansuhan itu. Pelbagai hujah diberikan yang sebenarnya tidak lebih andaian dan anggapan semata-mata kerana tidak disokong fakta dan data.

Paling ketara, pihak yang menyokong benar PPSMI gagal mengemukakan bukti dasar itu benar-benar berupaya meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dan membantu pula pencapaian Sains dan Matematik.

Kerap kali juga pendirian tegar mereka yang melihat PPSMI masih relevan seolah-olah membayangkan betapa rendahnya jati diri serta rasa bangga, yakin dan cinta mereka pada bahasa Malaysia iaitu bahasa kebangsaan negara ini sebagai bahasa ilmu.

Adakah mereka rendah diri lantaran fikiran terpasung bahasa Inggeris itu saja 'penyelamat' bangsa dan negara ini?

Selain itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam kenyataan media pada, 11 Julai lalu pula mencadangkan supaya memberi pilihan kepada pelajar bandar meneruskan PPSMI.

Benarkah dakwaan Lim ibu bapa dan pelajar Melayu di kawasan bandar tidak menghadapi masalah dengan PPSMI? Jika benar, mengapakah keputusan pencapaian gred A, B dan C bagi subjek Sains dan Matematik di kalangan murid bandar dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun lalu merosot.

Bagi subjek Sains, murid bandar mencatatkan pencapaian gred A, B dan C hanya 82.5 peratus berbanding 85.1 peratus 2007, 83.7 peratus (2006), 86.8 peratus (2005), 85.6 peratus (2004), 84.9 peratus (2003) dan 83.4 peratus pada 2002.

Begitu juga bagi mata pelajaran Matematik, murid bandar mendapat 80.9 peratus gred A, B dan C berbanding 84.8 peratus pada 2007, 83.5 peratus (2006), 87.1 peratus (2005), 86.3 peratus (2004), 86.5 peratus (2003) dan 85.9 peratus (2002).

Jelas, tempias 'bala' PPSMI bukan saja kepada pelajar di luar bandar seperti disangka ramai pihak, malah pelajar bandar pun tidak terkecuali.

Oleh sebab itu, syor Lim itu amat tidak relevan. Jika dilaksanakan pun hanya mewujudkan jurang kaedah pengajaran antara bandar dan luar bandar.

Hairannya, mengapa Lim tidak pula memberikan cadangan sama kepada pelajar di SJK (C) yang umum sedia maklum tegar hendak mengajar kedua-dua subjek itu dalam bahasa Mandarin?

Adakah ada udang di sebalik batu dalam cadangan Lim itu yang dia sendiri atau mungkin parti DAP tahu?

Kita tidak punya banyak masa menegakkan keadaan benang basah! Hentikan polemik berkenaan pemansuhan PPSMI. Keputusan kerajaan sudah pun terang lagi bersuluh.

Hakikatnya, semangat 1Malaysia dan menjelang 52 tahun kemerdekaan negara pada Ogos depan perlu diterjemahkan dalam pelaksanaan bahasa Melayu yang juga dipanggil bahasa Malaysia milik semua kaum di negara ini sebagai bahasa pengantar utama pendidikan.

ARIF ATAN,
Tanah Merah,
Kelantan.

Berita Harian Online: 13 Julai 2009

Tiada ulasan: