Rabu, 22 Julai 2009

Insentif khas untuk guru cemerlang BI

SEREMBAN - Kerajaan sedang mengkaji insentif khas untuk guru bahasa Inggeris (BI) daripada kategori cemerlang yang bersetuju berpindah untuk berkhidmat di kawasan luar bandar, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, pada masa sekarang elaun khas sudah dibayar kepada guru bahasa Inggeris tetapi insentif itu akan diberikan kepada guru cemerlang BI yang sanggup mengajar di kawasan luar bandar.

"Kita nak bagi insentif seperti tempat tinggal... memang ada guru-guru yang berminat, inilah guru yang sedia berkorban," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan dan Mesyuarat Agung Majlis Guru Besar Malaysia di sini semalam.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran menambah, kerajaan mahu menghantar guru-guru terbaik ke kawasan pedalaman dengan mencontohi program di Australia yang dikenali sebagai Teach Australia di mana guru negara itu menyahut cabaran dan diberikan insentif khas untuk mengajar anak-anak bangsa di kawasan pedalaman.

Muhyiddin menambah, kerajaan akan memastikan keselesaan guru-guru yang mahu bertukar ke luar bandar ini terjamin bagi membolehkan mereka berada di kawasan itu selama mungkin.

Katanya, Kementerian Pelajaran memerlukan kira-kira 13,000 guru terlatih BI untuk dihantar ke kawasan luar bandar menjelang tahun 2012 apabila strategi memperkukuhkan bahasa Inggeris di kalangan pelajar mula dilaksanakan.

Kosmo Online: 22 Julai 2009

Tiada ulasan: