Rabu, 22 Julai 2009

Tidak akan ada lagi sekolah menumpang

SEREMBAN 21 Julai - Kerajaan berharap kecenderungan sekolah menumpang pada masa hadapan tidak akan berlaku lagi kerana ia menyukarkan proses pengajaran dan pembelajaran.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dari segi pengurusan pun ia akan menyukarkan disamping kepadatan murid yang duduk dalam satu premis.

''Saya berharap trend ini tidak akan berlaku dan kita perlu memastikan jumlah bilik darjah mencukupi supaya ia dapat menampung keperluan mendesak pelajar," katanya di sini hari ini.

Muhyiddin berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Senawang (SMK Senawang) di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan, Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Datuk Abdullah Mohamad, Pengetua Cemerlang SMK Senawang, Noryah Hashim dan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.

Ketika ini Sekolah Menengah Senawang 3 menumpang di SMK Senawang kerana tidak mempunyai bangunan sendiri selain dua lagi sekolah yang turut menumpang sejak tiga tahun lalu iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Seremban Jaya 2 dan Sekolah Menengah Warisan Puteri di sini.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, kerajaan memang mempunyai cadangan untuk memindahkan kesemua sekolah yang menumpang ke bangunan baru dan akan menyegerakan pembinaan sekolah bagi ketiga-tiga sekolah yang menumpang tersebut.

Utusan Malaysia Online: 22 Julai 2009

Tiada ulasan: