Ahad, 12 Julai 2009

SMK Jengka Pusat terima Anugerah Sekolah Bestari Felda


HAFIDZAH Jono memegang replika cek bernilai RM30,000 kerana memenangi Anugerah Sekolah Bestari Felda 2009 sempena sambutan Hari Peneroka Kebangsaan 2009, kelmarin. - MINGGUAN/SALEHUDIN MAT RASAD


MARAN 11 Julai - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jengka Pusat, dekat sini mencipta sejarahnya yang tersendiri apabila dipilih sebagai penerima Anugerah Sekolah Bestari Felda sempena sambutan Hari Peneroka Kebangsaan di Felda Maokil, Labis, Johor baru-baru ini.

Pemilihan sekolah itu berdasarkan keputusan cemerlangnya dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini.

Pengetuanya, Hafidzah Jono berkata, pemilihan sekolah itu adalah di luar jangkaan kerana banyak lagi sekolah cemerlang di tanah-tanah rancangan di seluruh negara.

''Pemenang Anugerah Sekolah Bestari Felda membolehkan SMK Jengka Pusat menerima hadiah wang tunai sebanyak RM30,000 daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada majlis itu,'' katanya kepada Mingguan Malaysia ketika ditemui di sini hari ini.

Hafidzah memberitahu, SMK Jengka Pusat mencapai kelulusan 100 peratus dalam PMR dan SPM pada tahun ini menerusi Skim Tuisyen Felda (STF).

Katanya, pencapaian Gred Purata Sekolah (GPS) bagi PMR ialah 1.51 manakala SPM ialah 4.01 iaitu tahap prestasi yang membanggakan bagi kategori sekolah luar bandar.

Menurut beliau, SMK Jengka Pusat mendapat bantuan STF di bawah pengurusan Felda Melati Jengka 11 yang bersungguh-sungguh melaksanakan tuisyen kepada anak peneroka sejak 2006 lagi.

Tambahnya, wang kemenangan itu akan digunakan untuk menambah koleksi buku di perpustakaan sekolah di samping menjayakan projek menceriakan kawasan sekolah sejajar dengan konsep 'sekolahku rumahku.'

''Pihak pengurusan sekolah mengucapkan terima kasih kepada semua guru yang melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi serta pelajar yang memanfaatkan STF.

''Diharapkan anugerah ini memberi impak yang besar kepada warga SMK Jengka Pusat untuk terus lebih gigih meningkatkan prestasi khususnya dalam PMR dan SPM 2009,'' katanya.

Utusan Malaysia Online: 12 Julai 2009

Tiada ulasan: