Isnin, 20 Julai 2009

UPSR tetap diteruskan – Alimuddin

KUALA LUMPUR 19 Julai – Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) akan tetap diteruskan walaupun berlaku transformasi kokurikulum pendidikan negara.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, UPSR akan kekal peperiksaan pusat sebagai penilaian awal di peringkat sekolah rendah.

Katanya, adalah penting bagi murid untuk mengetahui tahap prestasi masing-masing sebagai ukuran awal pencapaian mereka dalam pendidikan.

“UPSR juga penting sebagai persediaan awal murid untuk meneruskan pelajaran ke peringkat menengah.

“Jika tidak, mereka akan mengalami kejutan kerana terdapat peperiksaan peringkat pusat yang lebih besar seperti Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang perlu diduduki” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, Alimuddin berkata, pelaksanaan UPSR itu penting bagi mewujudkan keseragaman piawaian sistem pendidikan di seluruh negara.

Ujarnya, jika dimansuhkan, dikhuatiri akan menimbulkan perbezaan pada sistem pendidikan sekolah khususnya pada peringkat sekolah rendah.

“Ini kerana sudah tentu setiap sekolah akan menggunakan pendekatan penilaian yang berbeza-beza kepada murid sekolah rendah,” jelas beliau.

Utusan Malaysia Online: 20 Julai 2009

Tiada ulasan: