Jumaat, 10 Julai 2009

Tiada pertambahan waktu sekolah

PUTRAJAYA: Tiada pertambahan waktu persekolahan meskipun waktu pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Bahasa Inggeris (BI) akan ditambah, kata Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.

Beliau berkata pertambahan waktu BI akan diambil daripada mata pelajaran lain, misalnya masa pembelajaran muzik akan dipendekkan untuk dipindahkan kepada pengajaran BI.

“Langkah itu bagi memastikan guru dan pelajar tidak terbeban,” katanya pada sidang akhbar khas tawaran baru sistem pendidikan Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Penguasaan BI di sini semalam.

Semalam Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains di sekolah kebangsaan akan dilaksanakan dalam Bahasa Malaysia manakala di sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil akan dilaksanakan dalam bahasa ibunda masing-masing mulai 2012.

Berikutan itu mata pelajaran BI akan dimantapkan dengan pertambahan waktu pembelajaran mata pelajaran itu.

Mengenai elaun Bayaran Insentif Subjek Pendidikan (BISP) dibayar kepada guru mengajar tiga mata pelajaran iaitu Sains, Matematik dan BI, Alimuddin berkata perkara itu akan dimumumkan kemudian sama ada pemberian insentif akan diteruskan atau sebaliknya.

myMetro: 10 Julai 2009

Tiada ulasan: