Rabu, 29 Julai 2009

Kementerian ambil tiga tindakan atasi masalah pelajar sesak di sekolah

Oleh Basir Zahrom
basir@bharian.com.my

TIGA tindakan mengikut kesesuaian dan keperluan diambil kementerian bagi mengatasi masalah kesesakan pelajar dalam kelas, kata Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.

Katanya, tindakan terbabit ialah menyediakan bilik kabin, bangunan tambahan dan sekolah baru, manakala pembinaan jenis kemudahan infrastruktur itu berdasarkan keadaan semasa.

Beliau berkata, tindakan membina kabin diambil apabila keperluan segera dan mendesak, tambahan pula ia mengambil masa singkat iaitu sekitar sebulan untuk disiapkan.

“Langkah lain ialah membina bangunan tambahan, bagaimanapun ia mengambil masa lama sedikit sekitar setahun hingga 18 bulan.

“Bagi kawasan membangun dan dikenal pasti keperluan tinggi contohnya Puchong dan Rawang, sekolah baru dibina.

“Dalam hal ini, pihak kami sentiasa menerima laporan daripada pegawai pelajaran daerah mengenai kawasan ramai penduduk dengan jumlah sekolah sedikit untuk tindakan lanjut,” katanya kepada Berita Harian.

Beliau berkata demikian mengulas laporan akhbar ini kelmarin mengenai kesesakan bilik kelas yang disifatkan tiada kesudahan dan dianggap antara kepincangan dalam sistem pendidikan negara.

Alimuddin berkata, masalah kesesakan bilik kelas majoriti di Lembah Klang dan beberapa bandar besar membabitkan kawasan pinggiran bandar contohnya Kajang, Sentul, Puchong, Rawang, Klang dan Subang.

Katanya, keadaan itu berlaku antara lain kerana pembangunan projek perumahan yang begitu pantas di kawasan terbabit.

Sambil menjelaskan permasalahan itu tidak berlaku di tengah bandar kerana jumlah penduduknya tetap, beliau berkata, kementerian sentiasa berusaha mengatasi masalah berkenaan.

“Kita sentiasa memantau dan sedia maklum mengenainya melalui mesyuarat dengan pihak berkuasa tempatan.

“Buat masa ini, tindakan diambil mengikut kesesuaian, ada sekolah baru siap, sedang dibina tidak kurang pula dalam perancangan pembinaan,” katanya.

Berita Harian Online: 29 Julai 2009

Tiada ulasan: