Khamis, 30 Julai 2009

RM310.5j tingkat prasarana sekolah luar bandar

BENTONG 29 Julai - Kementerian Pelajaran memperuntukkan RM310.5 juta bagi mewujudkan kemudahan dan prasarana di sekolah luar bandar dan kawasan pedalaman seluruh negara sepanjang tahun ini.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, peruntukan itu termasuk bagi menyalurkan bekalan elektrik, air, bangunan sekolah dan lain-lain prasarana.

Katanya, keutamaan diberi kepada sekolah luar bandar terutama di kawasan pedalaman Sabah yang sebahagian besar masih lagi ketinggalan khususnya dalam menikmati bekalan elektrik dan air.

"Sebahagian besar sekolah di pedalaman Sabah masih jauh ketinggalan berbanding sekolah di Semenanjung yang sebahagian besarnya sudahpun dilengkapi dengan prasarana, bilik pembelajaran termasuk pusat komputer yang lengkap.

"Kita akan memberikan tumpuan utama bagi melengkapkan kemudahan sekolah pedalaman terutamanya bekalan elektrik kerana tanpanya sukar bagi kerajaan untuk merapatkan jurang digital dan tidak boleh menyalurkan pendidikan berasaskan teknologi maklumat (IT)," katanya.

Mohd. Puad berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Portal e-Pembelajaran di Sekolah Menengah Sulaiman Bentong di sini, hari ini.

Menurut beliau, kerajaan memerlukan peruntukan yang lebih besar dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) supaya para pelajar dan guru dapat belajar serta mengajar dalam keadaan lebih selesa selaras dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk melahirkan rakyat berilmu dan berkualiti.

Katanya, kementerian mahu merapatkan jurang digital agar pelajar di kawasan pedalaman dan bandar menerima pembelajaran dan pendidikan yang sempurna terutamanya berasaskan IT.

''Bagi mengatasi masalah sekolah-sekolah pedalaman Sabah yang tidak mempunyai bekalan elektrik, kementerian akan membekalkan generator.

''Dengan adanya bekalan elektrik, kita berharap sekolah-sekolah di pedalaman sabah dapat menikmati kemudahan IT sama seperti sekolah di kawasan bandar," katanya.

Utusan Malaysia Online: 30 Julai 2009

Tiada ulasan: