Isnin, 27 Julai 2009

Fokus: Sekolah sesak

Oleh Khairina Yasin
kayrina@bharian.com.my


BILANGAN murid yang padat dalam kelas menjejaskan tumpuan pengajaran dan pembelajaran.

Tampung lebihan 1,000 murid, berbanding kemampuan hanya 2,400 pelajar sahaja

MASALAH kesesakan pelajar di sekolah dikenal pasti antara kepincangan dalam sistem pendidikan negara yang bagaikan tiada kesudahannya.

Biarpun pelbagai langkah penyelesaian dilaksanakan kerajaan, masalah itu bagaikan kudis apabila semakin menular di kebanyakan sekolah bukan saja di bandar, malah luar bandar.

Masalah kesesakan pelajar bukanlah isu baru kerana sebelum ini, ia sering memenuhi dada akhbar dan media apabila timbul rungutan atau aduan ibu bapa yang membangkitkan masalah anak masing-masing yang terpaksa belajar dalam keadaan tidak selesa.

Tinjauan Berita Harian ke Sekolah Kebangsaan Saujana Utama (SKSU), Sungai Buloh, Selangor mendapati kesesakan pelajar jelas meruncing apabila berlaku lebihan 1,000 murid berbanding kapasiti sekolah yang hanya mampu menampung 2,400 berdasarkan kemudahan infrastruktur yang ada.

Selain penduduk sekitar Taman Saujana Utama, sekolah yang dikategorikan sebagai sekolah luar bandar itu turut menjadi tumpuan dua taman perumahan berdekatan iaitu Sri Pristana dan Desa Coldfield.

BLOK bangunan baru satu tingkat terpaksa dibina di kawasan padang sekolah bagi menampung pertambahan murid.

Lebihan murid berlaku disebabkan peningkatan mendadak jumlah penduduk di kawasan itu, sekali gus menyebabkan berlaku kesesakan murid dalam kelas. Majoriti murid terpaksa belajar dalam keadaan tidak selesa berikutan purata kelas di sekolah berkenaan ialah 45 murid.

Jumlah 43 kelas belum mencukupi biarpun pihak sekolah terpaksa mengorbankan sebahagian kecil kawasan padang yang dikongsi bersama Sekolah Menengah Kebangsaan Saujana Utama untuk membina dua blok bangunan satu tingkat.

Malah, ruang lapang di bawah bangunan sekolah yang sebelum ini dijadikan tempat perhimpunan murid juga terpaksa diubahsuai menjadi bilik darjah.

Yang Dipertua Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu, Rahimi Dollah, berkata ketika ini, masalah di yang berlaku di sekolah berkenaan akan menjadi lebih buruk apabila hampir 900 murid baru Tahun Satu dijangka mendaftar, tahun depan.

“Tahun ini, sekolah terpaksa membuka 16 kelas bagi menempatkan 618 murid Tahun Satu dan bayangkan apa yang berlaku dalam kelas jika 900 murid baru mendaftar tahun depan.

“Maknanya, setiap kelas mungkin terpaksa menempatkan hingga 60 murid kerana kita tidak nampak jalan penyelesaian, malah tiada lagi kawasan atau ruang di sekolah yang boleh diguna atau diubahsuai menjadi kelas.

“Keadaan itu menjadikan murid mangsa keadaan apabila hilang tumpuan atau minat untuk belajar, malah menggugat keupayaan guru untuk mengajar dengan baik. Lebih parah, sekolah mungkin berdepan kekurangan guru, sekali gus menjejaskan pembelajaran,” katanya.

Beliau mendakwa, Kementerian Pelajaran sudah pun meluluskan pembinaan dua sekolah baru, masing-masing di Sri Pristana dan Desa Coldfield, namun pembinaannya baru saja bermula dan dijangka siap pertengahan tahun depan dengan kemasukan pelajar pada 2011.

Justeru, katanya, pihak sekolah terpaksa berdepan masalah kesesakan untuk jangka masa dua tahun lagi, sekali gus memburukkan keadaan sedia ada.

Mengulas isu itu, Presiden Majlis Pemuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional, Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan, berkata proses pembangunan fizikal di sesebuah kawasan tidak boleh dilihat secara mendatar kerana setiap tahun ada saja projek perumahan baru dibangunkan di kawasan terbabit.

Dalam tempoh lima hingga 10 tahun, katanya, jumlah penduduk akan meningkat berlipat kali ganda dan jika perancangan pembinaan sekolah tidak dibuat secara sistematik, ia menyebabkan masalah kesesakan pelajar timbul malah menjadi lebih teruk jika tidak ditangani secara berkesan.

“Masalah ini tidak boleh dianggap remeh kerana implikasinya cukup besar kepada pelajar dan sekolah, malah boleh menjejaskan usaha menjana kecemerlangan pendidikan negara,” katanya.

Biarpun mengakui penyelesaiannya bukan boleh dicapai dalam tempoh singkat, beliau mencadangkan pembangunan prasarana sekolah diberi keutamaan dalam agenda perancangan Kementerian Pelajaran yang perlu disegerakan setiap tahun.

“Sebelum ini, kementerian ada meletakkan sasaran 25 peratus daripada hampir 10,000 sekolah di negara ini melaksanakan sistem persekolahan satu sesi sepenuhnya tahun depan sebaik berakhir tempoh lima tahun Pelan Induk Pembangunan Pendidikan.

“Jika dicongak, kita hanya ada masa beberapa bulan saja untuk melangkah ke tahun depan dan melihat kepada situasi kesesakan di kebanyakan sekolah yang memaksa kepada pelaksanaan sekolah dua sesi, mungkin sukar untuk pihak kementerian merealisasikan sasaran itu,” katanya.

Berita Harian Online: 27 Julai 2009

Tiada ulasan: