Khamis, 23 Julai 2009

Bahasa etnik subjek elektif?

KOTA KINABALU 22 Julai - Kerajaan bersedia menyenaraikan bahasa etnik dan Orang Asli seperti Iban, Kadazandusun dan Semai sebagai subjek elektif di sekolah tambahan kepada beberapa bahasa antarabangsa yang boleh dipelajari kini.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, langkah itu bertujuan mengiktiraf kepentingan bahasa pelbagai kaum di negara ini setanding bahasa asing seperti Perancis, Jerman dan Jepun.

Bagaimanapun beliau menegaskan, keputusan itu bergantung kepada kesediaan guru untuk mengajar bahasa berkenaan.

''Kerajaan sedia membantu kerana untuk menyediakan buku teks, memang kita sudah ada kemampuan.

''Untuk bahasa antarabangsa seperti Perancis dan Jepun memang sudah diperkenalkan di sekolah berasrama penuh," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan buku Puralan Boros Kadazandusun Id Sikul (Pelajaran Bahasa Kadazandusun di Sekolah) di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah Pelajaran Sabah, Datuk Normah Gagoh dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Bahasa Kadazandusun, Tan Sri Simon Sipaun.

Mohd. Puad berkata, berdasarkan trend semasa, pengajaran bahasa etnik sebagai subjek elektif masih belum menyeluruh dan hanya bertumpu di kawasan atau daerah yang mempunyai ramai penutur bahasa berkenaan.

Bagaimanapun beliau menambah, pengajaran bahasa Kadazandusun sebagai subjek elektif telah menunjukkan peningkatan apabila seramai 700 pelajar yang mengambil kertas ujian bahasa berkenaan akan menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) Oktober ini.

''Mereka merupakan sebahagian daripada kira-kira 20,000 pelajar di negeri ini yang mengambil subjek Bahasa Kadazandusun sebagai elektif," katanya.

Berdasarkan statistik, Sabah kini mempunyai seramai 17,000 murid mengambil subjek Bahasa Kadazandusun di 205 sekolah kebangsaan manakala, 1,900 pelajar di sekolah menengah.

Selain itu, terdapat sebanyak 701 guru subjek Bahasa Kadazandusun kini bertugas di 621 sekolah rendah dan 80 sekolah menengah di negeri ini.

Sementara itu Mohd. Puad berkata, Kesusasteraan Inggeris yang akan diperkenalkan pada sesi persekolahan Januari depan diyakini lebih berkesan melahirkan pelajar fasih berbahasa Inggeris berbanding pelaksanaan Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Ini kerana, jelasnya, subjek itu menjurus kepada 'didik hibur' yang lebih diminati pelajar dan dengan sendirinya memudahkan mereka mendalami bahasa antarabangsa itu.

Utusan Malaysia Online: 23 Julai 2009

Tiada ulasan: