Selasa, 21 Julai 2009

Fail profil nilai potensi pelajar

Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) mula diperkenalkan apabila Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) dilaksanakan sejak 1983 di semua sekolah rendah di seluruh negara.

Elemen utama KBSR ialah melaksanakan pendidikan asas secara berintegrasi dan bersepadu antara setiap mata pelajaran. Penekanan utama ialah menjayakan konsep 3M (membaca, menulis dan mengira).

Harapan pihak berwajib ialah integrasi ilmu yang disampaikan melalui KBSR akan meningkatkan pembangunan pelajar secara lebih holistik. Malangnya sistem KBSR yang menekankan integrasi ilmu tidak pula diakhiri dengan sistem penilaian yang bersepadu sejak 25 tahun lalu.

Sistem penilaian UPSR walaupun tidak seiring dengan konsep KBSR tetapi masih terus diamalkan sebagai penanda aras pencapaian pelajar sekolah rendah di seluruh negara hingga ke hari ini.

Lima mata pelajaran akademik sahaja yang diuji di dalam UPSR manakala PEKA diuji secara projek amali. Begitu juga dengan PAFA yang diuji secara tingkah laku amali. Lima pelajaran tersebut ialah Bahasa Melayu Karangan, Bahasa Melayu Kefahaman, Bahasa Inggeris, Matematik dan juga Sains.

Sementara di Sekolah Jenis Kebangsaan diuji mata pelajaran bahasa Cina dan Tamil melalui ujian Karangan dan Kefahaman.

Maka berhempas pulaslah pelajar tahun enam untuk mendapat 5A (SRK) atau 7A (SRJK Cina dan Tamil).

Jika kita teliti secara mendalam, kita akan berjumpa tiga jenis kumpulan pelajar.

Pertama, kumpulan pelajar cemerlang (definisi cemerlang berdasarkan senarai pelajar yang dikenal pasti oleh pihak sekolah akan mendapat 5A).

Kedua, kumpulan sederhana yang menerima hakikat mereka bukan dari kalangan yang menjadi harapan sekolah tetapi masih berharap mendapat 5A.

Ketiga, kumpulan pencapaian rendah yang tidak kisah dengan apa juga keputusan yang mereka dapat. Malah pihak sekolah juga telah mengenal pasti kumpulan ini sebagai kumpulan lemah.

Kumpulan cemerlang biasanya tidak ramai. Antara 10 hingga 20 peratus daripada jumlah keseluruhan pelajar. Laporan pencapaian sebenar UPSR 2008 menunjukkan kurang 10 peratus sahaja - sekitar 40,000 - yang berjaya mencapai 5A.

Daripada perspektif pendidikan, semua pelajar sebenarnya mempunyai potensi dalam pelbagai bidang. Namun malangnya, sebelum sempat menunjukkan kebolehan dan potensi, UPSR telah 'menggagalkan' kebanyakan daripada mereka. Bayangkan 90 peratus pelajar ini tidak lagi dianggap cemerlang hanya kerana gagal mendapat 5A.

Pemantauan menunjukkan pencapaian di peringkat sekolah menengah mempunyai hubungan yang rapat dengan tahap kecemerlangan di sekolah rendah. Oleh itu, kegagalan mendapat 5A di dalam UPSR akan memberikan pengaruh yang besar terhadap prestasi di kalangan pelajar sederhana atau lemah di peringkat sekolah menengah.

Teori perkembangan kanak-kanak dan remaja tidak pernah mencadangkan satu sistem penilaian yang akhirnya akan merosakkan konsep kendiri mereka. Pandangan tokoh-tokoh pendidikan seperti Jerome Bruner, Jean Piaget dan Profesor Paul Hirst menolak penilaian akademik semata-mata bagi tujuan mengelaskan pelajar.

Begitu juga tokoh psikologi pendidikan seperti A.M Skinner, Maslow dan Erikson yang mencadangkan agar kanak-kanak di peringkat pelajaran rendah perlu diberikan peluang untuk mendapat sebanyak mungkin pengalaman pembelajaran dan tidak perlu dilakukan bentuk penilaian yang akan merosakkan sistem konsep kendiri mereka.

Apa yang perlu dilakukan oleh pihak kementerian untuk mengatasinya?

Sekurang-kurangnya dua perkara ini boleh diberikan perhatian. Pertama, melengkapkan kemudahan pengajaran dan pembelajaran yang setara untuk semua sekolah menengah dengan segera sekalipun terpaksa berbelanja besar.

Tidak seperti 25 tahun lalu ketika KBSR diperkenalkan, sekolah rendah mempunyai jurang pencapaian dan kemudahan yang sangat besar. Sekolah di pedalaman sangat kurang kemudahan pengajaran dan pembelajaran. Guru-guru biasanya di kalangan mereka yang baru tamat latihan perguruan.

Ia berbeza dengan sekolah-sekolah di bandar besar. Selain kemudahan pembelajaran yang begitu baik, para guru juga biasanya daripada kalangan mereka yang telah lama berkhidmat dan mempunyai pengalaman yang cukup untuk menjadikan seseorang pelajar cemerlang.

Apa yang penting ialah keupayaan menerima peluang pendidikan yang lebih baik di sekolah rendah bukannya membina satu dasar yang mengkategorikan pelajar dalam usia yang terlalu muda.

Kedua, satu sistem pemantauan yang berasaskan sekolah perlu dilaksanakan. Konsep pemantauan berasaskan sekolah bermaksud mekanisme penilaian berlaku secara berterusan.

Seharusnya pemantauan di peringkat sekolah rendah bukan mencari siapa yang lebih pandai di kalangan 100 pelajar tetapi menentukan sama ada pencapaian 100 orang pelajar tersebut sudah berada tahap tanda aras yang ditentukan oleh kementerian.

Oleh itu satu sistem fail profil rekod pembangunan pelajar perlu diadakan bagi setiap pelajar. Sistem ini boleh sahaja di dalam bentuk bercetak seperti buku rekod kemajuan tetapi lebih baik sebenarnya di dalam bentuk online yang boleh diakses oleh ibu bapa pelajar.

Sistem penilaian bermula apabila ujian diagnostik dilakukan pada minggu awal di tahun satu. Beberapa domain utama perlu dikenal pasti untuk tujuan penilaian.

Misalnya selain domain 3M, domain keagamaan dan ibadat, domain moral, sivik, muzik dan seni, jasmani dan domain pembangunan emosi.

Buku perkembangan pelajar ini perlu dibawa dari tahun ke tahun sehinggalah ke peringkat tahun enam di sekolah rendah. Apabila seseorang pelajar masuk ke sekolah menengah rekod kemajuan ini akan digunakan oleh guru untuk mengkaji tahap kebolehan dan mengenal pasti potensi pelajar.

Malangnya, sistem pendidikan yang ada sekarang jelas memisahkan sistem pendidikan rendah dan menengah.

Para guru sekolah rendah merasakan mereka tiada kaitan dengan perkembangan pelajar di sekolah menengah nanti. Begitu juga guru sekolah menengah merasakan tiada keperluan untuk mengkaji kebolehan dan potensi pelajar berasakan pencapaian di peringkat sekolah rendah.

Kita perlu berubah kerana apa yang diinginkan 25 tahun dulu sudah tidak relevan lagi pada hari ini. Anak-anak kita perlu kepada pembangunan keupayaan membaca dan menulis di dalam bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin atau Arab yang baik.

Mereka juga perlu boleh melakukan matematik dengan baik, mampu bersenam dan bersukan dengan cara yang betul, boleh menunjukkan bakat di dalam seni dan muzik, serta menunjukkan minat dan kemahiran dengan penggunaan ICT.

Selain itu mereka juga perlu ditanamkan dengan disiplin kendiri yang baik di dalam melaksanakan ibadat mengikut agama masing-masing.

Pada akhirnya, tujuan penilaian dalam pendidikan bukanlah untuk menggagalkan pelajar tetapi memastikan seramai mungkin pelajar mencapai apa yang sepatutnya mereka capai selepas pembelajaran.

PENULIS ialah Pensyarah Sosiologi Pendidikan, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia

Utusan Malaysia Online: 21 Julai 2009

Tiada ulasan: