Khamis, 16 Julai 2009

Guru digalak ajar dalam dwibahasa

KUALA LUMPUR 15 Julai - Guru mata pelajaran Sains dan Matematik digalakkan untuk terus mengajar dalam kedua-dua bahasa Inggeris dan bahasa Melayu sehingga 2012.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, ini untuk mengelakkan murid-murid mengalami kekeliruan terhadap istilah yang terdapat dalam mata pelajaran tersebut setelah Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dimansuhkan.

Katanya, pendekatan sedemikian perlu bagi membolehkan para guru memberikan perkhidmatan terbaik mereka.

''Selain itu, pengumuman 12 langkah untuk memantapkan penguasaan bahasa Inggeris merupakan tindakan yang wajar.

''Justeru, tindakan untuk menggunakan kembali khidmat guru Bahasa Inggeris yang telah bersara adalah bersesuaian memandangkan mereka mempunyai tahap penguasaan yang lebih baik disebabkan pengalaman mereka,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis Anugerah Nilam Kebangsaan 2009 di sini semalam.

Anugerah Nilam yang diadakan sejak 2003 telah berjaya melahirkan tokoh murid yang boleh dijadikan model ke arah meningkatkan amalan pembacaan dan menjadi pelajar cemerlang.

Sementara itu, Alimuddin berkata, ibu bapa perlu meluaskan ruang lingkup pembacaan anak-anak mereka supaya tidak tertumpu kepada bahan bacaan peperiksaan sahaja.

Katanya, dengan bahan bacaan yang pelbagai ilmu pengetahuan dan pengalaman pelajar akan dapat diperkasakan untuk menjadi insan cemerlang.

Dalam pada itu, Tokoh Nilam Kebangsaan 2009 Kategori Sekolah Menengah dimenangi oleh Nur Razlina Rozi yang membaca sebanyak 500 buah buku di dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu.

Dia berjaya membawa pulang wang tunai RM1,000 beserta sijil dan piala iringan.

Pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Abdul Malek, Kuala Terengganu itu berkata, dia gemar membaca buku berkaitan falsafah dan sejarah ketika berada di perpustakaan.

''Jika ada masa yang terluang, saya akan mengambil peluang membaca buku dan majalah," katanya yang berazam melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan.

Sementara itu, Muhammad Adam Faliq Abd. Ghani terpilih sebagai Tokoh Nilam Kebangsaan 2009 Kategori Sekolah Rendah.

Pelajar tahun enam Sekolah Kebangsaan (SK) Peramu Jaya, Pekan itu berjaya membawa pulang sijil, piala iringan dan wang tunai RM700.

''Untuk pertandingan kali ini, saya banyak membaca buku dan majalah berkaitan isu semasa untuk meningkatkan mutu pembacaan dan pengetahuan,'' katanya yang membaca sebanyak 495 buah buku.

Tiada ulasan: