Jumaat, 17 Julai 2009

SKM tetap tidak ditutup


Dr. Mohd. Puad Zarkashi (dua dari kiri) bertanya sesuatu kepada Nur Hidayatul Emi Nadia Mat Zainal Abidin,10, satu-satunya murid Melayu di sekolah aliran Cina semasa melakukan lawatan ke Sekolah Jenis Kebangsaan, Cina, Yeong Hwa di Lenggong Perak, semalam.


LENGGONG 16 Julai - Kerajaan tetap dengan pendirian tidak menutup sekolah kurang murid (SKM) di seluruh negara sebaliknya akan mencari jalan bagi mengatasi masalah berkenaan.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, antara yang difikirkan sesuai membina semula sekolah di kawasan baru yang mempunyai ramai penduduk dan amat memerlukan kemudahan itu.

''Kita akan dirikan sekolah di kawasan yang ada ramai anak bersekolah dan kerajaan akan terus membantu sekolah-sekolah bantuan modal termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil (SJKC dan SJKT).

''Tambahan pula pembinaan sekolah baru sekarang tidak memakan masa terlalu lama kerana kita sudah menggunakan teknologi sistem binaan industri (IBS), sekolah boleh siap dalam tempoh tujuh bulan sahaja dengan kualiti lebih baik berbanding sistem pembinaan konvensional," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas melawat tiga sekolah daif iaitu SJKT Ladang Kota Lima, Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Ahmad dan SJKC Yeong Hwa di sini hari ini.

Mohd. Puad berkata, pada masa sama, kerajaan juga sedang mengkaji untuk menyediakan tambang untuk pelajar SKM supaya mereka dapat belajar di sekolah lain yang lebih selesa.

Beliau bagaimanapun berkata, langkah berkenaan hanya akan dilaksanakan sekiranya kosnya lebih murah daripada kos penyelenggaraan sekolah seperti gaji guru dan pembayaran bil bulanan.

''Langkah tersebut boleh dilaksanakan bagi SKM yang hanya ada seorang murid dengan enam orang guru. Kalau kos tambang lebih jimat berbanding gaji guru dan sebagainya maka kita boleh laksanakan," katanya.

sambil menambah 70 peratus daripada SKM adalah SJKT.

Beliau memberitahu kebanyakan sekolah daif seperti di SJKT Ladang Kota Lima sepatutnya dipindahkan ke lokasi baru supaya pelajarnya dapat belajar dengan lebih selesa.

Jelas beliau, sekolah itu yang hanya mempunyai 59 murid telah memaksa guru menggabungkan murid darjah satu hingga darjah tiga dalam satu kelas selain menumpang di kuil berhampiran bagi aktiviti perhimpunan dan menikmati makanan.

''Lokasinya pula sangat membahayakan pelajar jika berlaku kebakaran kerana terlalu rapat dengan bangunan lain malah sekolah itu juga kerap dilanda banjir, jadi saya fikir lebih baik sekolah itu dipindahkan," katanya.

Beliau menambah, pihak kementerian sudah membelanjakan sebanyak RM50 juta melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua bagi menaik taraf dan menyelenggara sekolah-sekolah daif seluruh negara.

Utusan Malaysia Online: 17 Mei 2009

Tiada ulasan: