Rabu, 22 Julai 2009

Satu kelas SRK Subang Bestari ditutup

KUALA LUMPUR 21 Julai - Sebuah kelas di Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Subang Bestari, Shah Alam, dekat sini diarahkan ditutup hari ini berikutan 15 pelajarnya dikesan mengalami gejala penyakit serupa influenza (ILI).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, kelas tahun Lima Lotus yang mempunyai 43 orang pelajar itu ditutup sehingga 27 Julai ini bagi membolehkan kesemua pelajar terbabit menjalani kuarantin di rumah.

"Seorang pelajar kelas ini juga telah disahkan positif selesema babi atau influenza A (H1N1) dan merupakan salah satu kes jangkitan tempatan iaitu kes 871. Dia telah menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh, di sini.

"Kami akan terus membuat pemantauan keadaan kesihatan para pelajar untuk memastikan keadaan di kelas tersebut terkawal," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Penjagaan Kesihatan Antarabangsa 2009 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.

Tiong Lai berkata, sebanyak tiga kes baru H1N1 dilaporkan hari ini di seluruh negara menjadikan jumlah terkumpul kes H1N1 yang disahkan sehingga kini adalah sebanyak 877 kes.

"Tiga kes baru yang dilaporkan melibatkan rakyat Malaysia iaitu satu kes jangkitan tempatan dan dua kes import. Mereka telah dimasukkan ke hospital untuk diberi rawatan," jelas beliau.

Menurutnya, kes jangkitan tempatan melibatkan seorang lelaki berumur 32 tahun yang bekerja di syarikat swasta dan pernah berurusan dengan pelanggan dari luar negara.

"Dia telah dimasukkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) kerana mengalami komplikasi pneumonia dan disahkan positif H1N1. Dia berada dalam keadaan stabil dan telah diberi rawatan antiviral," katanya.

Tiong Lai memberitahu, kes import kedua dan ketiga ialah adik beradik yang baru pulang bercuti dari Bandung, Indonesia pada 11 Julai lalu dan dimasukkan ke wad pada hari berlainan iaitu 16 dan 18 Julai lalu.

"Mereka dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) setelah mengalami komplikasi pneumonia dan disahkan positif H1N1 semalam. Mereka berada dalam keadaan stabil dan telah diberi rawatan antiviral," katanya.

Beliau menegaskan, Malaysia belum lagi menunjukkan petanda untuk diisytiharkan sebagai negara bebas H1N1 meskipun penularan wabak itu di negara ini masih terkawal dan bilangan kes baru yang dilaporkan semakin menurun.

"Kita tidak boleh katakan Malaysia mempunyai petanda bebas wabak H1N1 kerana ia merupakan fenomena global. Kami kini dalam fasa mitigasi iaitu menumpukan rawatan kepada bilangan pesakit yang dimasukkan ke hospital," katanya.

Menurutnya, orang ramai tidak boleh memandang ringan penularan wabak H1N1 di negara ini kerana keadaannya boleh menjadi serius jika langkah kawalan dan pencegahan tidak diambil.

"Justeru, saya menyeru rakyat untuk meningkatkan kesedaran mereka dengan mengamalkan kebersihan mencakupi kebersihan diri dan tempat awam untuk kita sama-sama menjayakan usaha memerangi wabak H1N1," katanya.

Utusan Malaysia Online: 22 Julai 2009

Tiada ulasan: