Oleh Tamrin Anuar
upen@bharian.com.my
INISIATIF Permodalan Nasional Berhad (PNB) menganjurkan Seminar Skor A SPM mendapat pujian guru pengiring sekolah terbabit kerana syarikat kerajaan itu prihatin terhadap pendidikan negara, khususnya membantu pelajar memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan.
Mereka menyifatkan program menerusi Kelab Pelaburan Bijak (KPB) itu membantu calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menyediakan diri dengan pelbagai teknik dan strategi menjawab soalan secara berkesan sebagai persediaan menghadapi peperiksaan.
Walaupun masanya singkat, mereka berkata, pendedahan bermanfaat itu membantu tugas guru meningkatkan pemahaman peserta mengenai topik yang dibincangkan, selain meningkatkan keyakinan pelajar terus belajar hingga berjaya.
Seramai 250 ahli KPB dari seluruh Johor menyertai program anjuran bersama akhbar sisipan SKOR terbitan Berita Harian di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kamarul Ariffin, Labis, Johor, pada Sabtu lalu.
Sekolah lain turut serta adalah SMK Kahang, Muar; SMK Ulu Tiram dan SMK Hassan Yunus, Johor Bahru; SMK Bukit Gambir, Muar; SMK Seri Tangkak, Tangkak dan SMK Dato’ Penggawa Barat, Pontian.
Guru SMK Datuk Hj Hassan Yunus, Hanizah Ismail, berkata, pengisian disampaikan menarik dan menyeronokkan kerana penceramah turut menyelitkan unsur humor, sekali gus menghidupkan suasana pembelajaran aktif serta tidak membosankan.
Katanya, wujud hubungan dua hala antara penceramah dengan pelajar membuatkan mereka tekun mengikuti pengajaran yang disampaikan.
Bagi guru SMK Dato Abd Rahman Andak, Simpang Renggam, Faridah Syed Fadzil, pula berkata program itu wajar diperluaskan dengan membabitkan calon Penilaian Menengah Rendah.
Berita Harian Online: 14 Julai 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan