Rabu, 15 Julai 2009

1,000 guru Inggeris dari luar negara

KOTA KINABALU: Kementerian Pelajaran akan mengambil 1,000 guru pakar dan terlatih subjek bahasa Inggeris dari Australia dan United Kingdom (UK) serta memperkenalkan semula subjek Kesusasteraan Inggeris di sekolah rendah dan menengah, mulai Januari depan.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata kedua-dua langkah berkenaan bertujuan memperkukuhkan pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris, sekali gus melahirkan lebih ramai pelajar yang mampu menguasai bahasa antarabangsa itu.

"Ia sebahagian daripada usaha memantapkan penguasaan bahasa Inggeris pelajar selepas Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dimansuhkan mulai 2012," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Profesionalisme Pengelola Sekolah Malaysia (PPSSM) Ke-31, di Hotel Beverly, di sini, semalam.

Persidangan selama tiga hari yang bermula kelmarin itu disertai 280 anggota Persatuan Pengelola Sekolah Malaysia. Hadir sama, Pengarah Jabatan Pelajaran Sabah, Datuk Normah Gagoh dan Yang Dipertua persatuan itu, Hussin Mustaffa.

Mohd Puad berkata, guru dari Australia dan United Kingdom itu akan disaring terlebih dulu bagi mencapai sasaran melahirkan pelajar fasih berbahasa Inggeris.

"Program itu adalah sebahagian peruntukan RM5 bilion untuk memperkasa pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris bagi tempoh 2011 hingga 2015. Ia turut membabitkan pembinaan makmal bahasa Inggeris yang dilengkapi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT)," katanya.

Beliau berkata, kebanyakan sekolah luar bandar yang tiada guru opsyen bahasa Inggeris mengajar subjek berkenaan menyebabkan pencapaian di kalangan pelajar sukar ditingkatkan.

"Contohnya, di Sekolah Kebangsaan Abai, Kinabatangan, subjek Bahasa Inggeris diajar oleh guru agama yang kurang fasih berbahasa Inggeris.

"Ada juga guru yang sanggup mengajar bahasa Inggeris walaupun penguasaan mereka lemah bagi mengelak dipindahkan ke sekolah lain. Maklumat itu saya peroleh ketika melawat sekolah di pedalaman Sabah dan Sarawak," katanya.

Mengenai langkah memperkenalkan semula subjek Kesusasteraan Inggeris, beliau berkata, sebahagian besar pelajar yang mengambil subjek itu pada 1950-an hingga 1970-an mampu menguasai bahasa Inggeris dengan baik.

Katanya, selain Kesusasteraan Inggeris, kementerian itu juga bersedia mempertimbangkan pengenalan bahasa lain sebagai subjek elektif seperti bahasa Jerman, Perancis, Sepanyol dan Jepun pada masa depan kerana ia semakin penting pada peringkat antarabangsa.

Katanya, kementerian sedang mengkaji mengenainya tetapi menegaskan ia bukan bermakna kerajaan akan meminggirkan bahasa Malaysia.

Berita Harian Online: 15 Julai 2009

Tiada ulasan: