Oleh Zainor Said
zainor@bharian.com.my
DASAR Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang menimbulkan kontroversi sehingga mencetuskan perdebatan hangat serta bantahan pelbagai pihak, sejak mula dilaksanakan pada 2003, akhirnya sampai ke penghujung jalan.
Rabu lalu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pelajaran mengumumkan pemansuhan dasar itu, sekali gus pengajaran dan pembelajaran kedua-dua subjek itu kembali kepada bahasa Melayu dan bahasa ibunda mengikut kaum masing-masing, mulai 2012.
Walaupun ramai yang menarik nafas lega dengan keputusan itu, terutama mereka yang membantah keras pelaksanaannya, namun tidak kurang juga mereka yang kecewa terutama bagi yang sudah nampak kesan positif ke arah menggalakkan pelajar menguasai bahasa Inggeris serta dapat memahami ilmu sains dan teknologi di semua peringkat.
Kita tidak menafikan, berdasarkan beberapa kajian yang didedahkan kepada umum, jelas menunjukkan penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik memberi kesan negatif terhadap prestasi pelajar bagi kedua-dua subjek berkenaan, terutama di kalangan pelajar luar bandar dan yang tidak menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi.
Bagaimanapun di sesetengah kawasan, sebahagian pelajar menunjukkan perkembangan yang cukup positif, baik dalam peperiksaan mahupun dari segi minat mereka mempelajari mata pelajaran berkenaan, sekali gus menunjukkan petanda positif menguasai bahasa Inggeris, jika usaha itu diteruskan.
Dengan kata lain, adalah tidak wajar kita menidakkan terus kesan positif dasar PPSMI itu atau mendakwa dasar itu sepenuhnya gagal mencapai matlamat. Setidak-tidaknya tahap kemahiran bahasa Inggeris pelajar adalah lebih baik berbanding tahap sebelumnya.
Walaupun dasar itu kini sudah dimansuhkan namun sejak diperkenalkan, dasar itu telah meningkatkan kesedaran dalam sesetengah masyarakat peri pentingnya bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu yang harus dikuasai pelajar, jika mereka ingin bersaing dengan pelajar pelbagai kaum di negara ini, apatah lagi di persada antarabangsa.
Kerajaan mengambil masa agak lama sebelum membuat keputusan muktamad mengenainya, setelah mengambil kira pandangan pelbagai pihak, termasuk hasil kajian terperinci yang dijalankan oleh ahli akademik berwibawa.
Walaupun cadangan hasil rumusan daripada tujuh rundingan meja bulat yang dibuat ketika Kementerian Pelajaran diterajui Datuk Seri Hishammuddin Hussien ditolak Kabinet, namun kita percaya rundingan yang disertai wakil pelbagai agensi kerajaan dan swasta itu tetap diguna pakai dan turut menjadi pertimbangan kementerian.
Keputusan memansuhkan dasar PPSMI itu bukan suatu yang mudah untuk diputuskan kerajaan. Apatah lagi selepas enam tahun dilaksanakan setelah pelbagai persediaan dibuat dan banyak tenaga dicurahkan, termasuk menyediakan peruntukan yang bukan sedikit untuk menjayakannya.
Begitupun, kita tidak harus beranggapan bahawa segala usaha dilakukan itu sebagai satu pembaziran, sebaliknya ia adalah pelaburan yang wajar dengan tujuan untuk mendidik anak bangsa. Jadikanlah kegagalan dasar PPSMI itu sebagai pengajaran serta cabaran kepada semua warga pendidikan khususnya guru untuk merangka strategi lebih berkesan selepas ini, khususnya dalam pengajaran bahasa Inggeris.
Pemansuhan dasar PPSMI membuktikan kerajaan sama sekali tidak pernah mengabaikan kepentingan mana-mana pihak, apatah lagi pelajar luar bandar yang dikatakan terjejas teruk dalam kedua-dua subjek berkenaan seperti yang didakwa sesetengah pihak.
Langkah itu juga sekali gus menangkis
dakwaan pihak tertentu bahawa kerajaan tidak sensitif dengan usaha memperjuangkan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara, jauh sekali membelakangkan kepentingan bangsa Melayu.
Walaupun dasar PPSMI dihentikan, namun ini tidak bermakna usaha memantapkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar turut terbantut, sebaliknya kita harus membuktikan mampu melakukan usaha yang lebih berkesan dan lebih mantap berbanding PPSMI.
Seperti diumumkan Muhyiddin, kementeriannya akan terus mempertingkatkan strategi dan melakukan pelbagai perubahan terutama dari segi kaedah pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris. Perubahan juga harus dilakukan dari segi latihan serta bilangan guru terlatih terutama di luar bandar bagi mengelak sesetengah sekolah bertindak menyerahkan tugas mengajar bahasa Inggeris kepada guru yang bukan bidangnya kerana masalah kekurangan guru bahasa Inggeris.
Usaha itu harus dilakukan bersungguh-sungguh agar pelajar yang bakal lahir hasil daripada strategi baru kerajaan itu, bukan saja mampu menguasai bahasa Inggeris, malah mereka harus mampu memahami ilmu sains dan teknologi dengan baik, yang dikatakan banyak diterbitkan dalam bahasa Inggeris.
Fokus kita sekarang haruslah diberikan kepada usaha memperkemaskan kaedah pengajaran dan pembelajaran subjek bahasa Inggeris sebagai alternatif kepada pemansuhan dasar PPSMI. Sikap pelajar yang tidak mementingkan bahasa Inggeris juga harus diubah, jika tidak mereka akan menghadapi masalah di peringkat SPM yang bakal mewajibkan mereka lulus bahasa Inggeris tidak lama lagi.
Berita Harian Online: 10 Julai 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan