Rabu, 22 Julai 2009

Minda Pengarang: Kajian mendalam atasi masalah tercicir alam persekolahan

KENYATAAN Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa lebih 125,000 kanak-kanak yang mencapai umur persekolahan tercicir daripada alam persekolahan, memerlukan penyelesaian yang serius dan segera. Keadaan ini tidak boleh dipandang ringan walau-pun mereka dari kawasan luar bandar dan pedalaman yang sepatutnya tidak dipinggirkan dalam apa juga kemudahan yang diberikan untuk rakyat, apatah lagi soal pelajaran. Awal tahun lalu, dilaporkan 83,000 pelajar sekolah rendah hingga Tingkatan Lima tercicir daripada sistem persekolahan negara. Keciciran selepas gagal dalam peperiksaan bukanlah perkara yang menghairankan. Tetapi, menafikan hak kanak-kanak menikmati alam persekolahan setelah mereka berusia tujuh tahun, tidak sewajarnya berlaku apatah lagi dengan status Malaysia yang akan menjadi negara maju pada 2020 nanti. Jika masalah ini berpunca daripada kemiskinan atau kekurangan prasarana, ia adalah alasan yang tidak boleh diterima. Pihak berkenaan perlu menyelidiki dengan mendalam faktor yang menjadi punca kepada masalah ini seperti sikap pelajar itu sendiri, keluarga dan persekitaran. Kabinet pada 16 Januari tahun lalu sudah memutuskan bahawa semua kanak-kanak tanpa sijil kelahiran di seluruh negara layak mendapat akses pendidikan kerana tidak mahu mereka terus tercicir daripada arus pendidikan hanya disebabkan tidak dapat didaftarkan di sekolah, semata-mata kerana proses permohonan sijil lahir yang agak rumit dan mengambil masa agak panjang.

Oleh itu, sesuatu harus dilakukan termasuk mengenal pasti siapa dan di mana kanak-kanak itu berada. Kerahkan semua Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dengan bantuan Pejabat Daerah serta agensi kerajaan berkaitan untuk menemui keluarga kanak-kanak terbabit dengan kerjasama penghulu kampung dan sebagainya.

Kementerian Pelajaran dan Unesco dalam satu kajian pada 2003 mendapati 84.6 peratus pelajar yang tercicir daripada sekolah rendah adalah daripada keluarga golongan sosio-ekonomi yang rendah. Sememangnya ada kes bagi rakyat yang benar-benar miskin untuk memberi pendidikan kepada anak terutama di kawasan yang jauh dari sekolah, Mereka lebih rela anak mereka mengikut jejak langkah mereka daripada memberi pendidikan kepada anak. Namun, ini tidak semestinya benar kerana ramai anak miskin ini kini berada di Sekolah Menengah Agama Negeri, Sekolah Menengah Agama Rakyat dan sebagainya. Dicadangkan supaya siasatan dan kajian lanjut dijalankan untuk mengetahui sama ada mereka ini benar-benar tercicir atau mereka ditempatkan di sekolah-sekolah lain.

Kerajaan menerusi Kementerian Pelajaran sudah merangka banyak program termasuk Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010 yang antara lain bagi mengatasi kadar keciciran pelajar. Kita berharap kerajaan memastikan semua rakyat berpeluang mendapat akses kepada pendidikan. Kementerian Pelajaran hendaklah menyediakan infrastruktur, terutama kepada sekolah luar bandar. Ini selaras dengan misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mahu setiap negara di dunia memastikan pendidikan untuk peringkat masyarakat dapat dilaksanakan secepat mungkin tanpa seorang pun tertinggal atau dinafikan haknya.

Berita Harian Online: 22 Julai 2009

Tiada ulasan: