Rabu, 15 Julai 2009

Sayangi Sekolah: Capai wawasan

Oleh Khairina Yasin
kayrina@bharian.com.my

Sekolah Kebangsaan Seksyen 9 tingkat usaha kekalkan kecemerlangan, sasar Sekolah Kluster

WALAUPUN usia penubuhannya baru saja mencecah 11 tahun, pencapaian Sekolah Kebangsaan Seksyen 9 (SKS9), Shah Alam, Selangor, amat membanggakan dan boleh dijadikan contoh institusi pendidikan rendah lain.

Menduduki tangga ke-16 dalam senarai pencapaian Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) peringkat kebangsaan pada 2001, menjadi titik tolak warga sekolah itu meneruskan kecemerlangannya dalam akademik dan kokurikulum.

Kejayaan terbesar pertama dicapai sekolah itu bukan saja membanggakan warga sekolah, malah ibu bapa meletakkan keyakinan tinggi terhadap keupayaan SKS9 terus maju dan cemerlang.

Guru Besarnya, Paridah Anum Tajudin, berkata SKS9 meletakkan visi menjana modal insan gemilang, selain sasaran berada dalam kelompok Sekolah Kluster, Kementerian Pelajaran, tahun depan.

Bagi mencapai matlamat itu, katanya, kesepakatan semua pihak dipupuk agar terus komited memastikan kesinambungan pencapaian akademik dan kokurikulum dengan mewujudkan iklim sekolah kondusif berteraskan pengurusan dan pentadbiran telus dan hubungan komuniti erat.

“Kami berjaya mengekalkan pencapaian lulus keseluruhan 90 peratus ke atas dalam UPSR sejak 1999 dengan jumlah pelajar mendapat 5A meningkat setiap tahun.

“Pencapaian ini memberi peluang sekolah terus meraih pelbagai anugerah termasuk johan Anugerah Sekolah Harapan Negara Kategori Sekolah Rendah Bandar peringkat Selangor pada 2004.

“Deretan kejayaan ini diraih kerana sokongan dan kekuatan pasukan kerja di kalangan pengurusan sekolah, guru dan ibu bapa yang begitu komited dan bertanggungjawab ketika menjalankan tugas,” katanya kepada Berita Harian.

Paridah menjelaskan, gabungan pasukan kerja yang komited serta kaedah pengajaran dan pembelajaran (P&P) kreatif dan inovatif antara faktor yang melonjakkan pencapaian sekolah dalam tempoh singkat.

Malah katanya, dasar terbuka yang diamalkan sekolah itu membuka peluang komuniti setempat khususnya ibu bapa untuk bersama menyumbang khidmat dan kepakaran bagi membantu kejayaan sekolah.

Selain akademik, beliau berkata, pencapaian murid sekolah itu dalam kurikulum turut diberi perhatian dan buktinya, pasukan tenisnya muncul johan dan naib johan Kejohanan Tenis Antara Pasukan Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM) Kebangsaan pada 2004 dan 2005.

“Gimrama turut menjadi kekuatan SKS9 apabila muncul johan keseluruhan Gimrama Artistik MSSM 2008 dan tempat kedua Kejohanan Renang dan Akuatik MSSM 2006 peringkat Kebangsaan dan negeri dalam pelbagai kategori.

Di peringkat antarabangsa pula, beliau berkata, sekolah itu pernah meraih naib johan dan tempat ketiga sukan renang, masing-masing bagi kategori Gaya Bebas dan Kuak Lentang pada Third Asean Inter Club Age Group Swimming Championships 2005 di Jakarta.

Ketika menyertai World Kids Colouring Contest 2009 anjuran Steadtler dan Hope, Paridah berkata, sepuluh penyertaan muridnya terpilih sebagai lukisan terbaik.

“Kami sentiasa menggalakkan penyertaan murid dalam apa jua aktiviti kokurikulum bagi memastikan mereka mendapat pendedahan menyeluruh, selain mengasah bakat.

“Pendekatan ini bukan saja mendapat sokongan guru dan murid, malah ibu bapa yang turut menyumbang dari segi kejurulatihan dan penyediaan peralatan," katanya.

INFO: Pencapaian Ko-Akademik SKS9

  • Johan Kebangsaan Story Telling Tahap 1 (Bahasa Inggeris) 2005
  • Naib Johan Hafazan (Perempuan) 2009
  • Anugerah Khas Kualiti Pendidikan Islam Selangor 2008
  • Naib Johan Tokoh Nilam Selangor 2009
  • Penyertaan Perkhemahan Alam Semula Jadi Sekolah Rendah Kebangsaan 2005
  • Penyertaan Perkampungan Bahasa Melayu Sekolah Rendah Malaysia Kebangsaan 2006
Berita Harian Online: 15 Julai 2009

Tiada ulasan: