Rabu, 22 Julai 2009

Habiskan sekolah di tahun enam

BARAM 21 Julai - Jumlah murid yang berhenti sekolah sebaik sahaja tamat tahun enam di kawasan Baram semakin membimbangkan dan perlu perhatian segera.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Jacob Dungau Sagan berkata, kebanyakan mereka yang merupakan murid lelaki tidak melanjutkan pelajaran ke tingkatan satu sebaliknya berhenti sekolah dan pulang ke rumah panjang masing-masing.

Tanpa mendedahkan statistik mereka yang berhenti sekolah, beliau memberitahu, trend ini bukan sahaja membimbangkan malah merugikan masa depan generasi muda di kawasan Baram.

''Punca utama adalah disebabkan mereka tidak dapat menyesuaikan diri dengan kehidupan di sekolah menengah terutama jika sekolah itu jauh dari rumah.

''Lazimnya, murid lelaki akan pulang ke rumah panjang selepas beberapa bulan berada di sekolah menengah,'' katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Baram berkata demikian semasa berucap merasmikan pertandingan sukan Sekolah Kebangsaan (SK) Long Luyang di Tinjar, Baram, baru-baru ini.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan satu kajian perlu dibuat mengenai mengapa pelajar perempuan lebih berminat menyambung persekolahan berbanding pelajar lelaki.

Jacob juga mahu Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) meningkatkan kerjasama dalam mewujudkan suasana kondusif bagi menggalakkan pelajar-pelajar luar bandar meneruskan persekolahan.

Jacob juga turut mengumumkan peruntukan RM5,000 untuk PIBG SK Loyang dan RM5,000 untuk jawatankuasa sukan Zon Tinjar.

Pada majlis sama, beliau merasmikan dewan masyarakat bernilai RM13,000 yang didirikan secara bergotong-royong oleh penduduk kampung Long Loyang.

Utusan Malaysia Online: 22 Julai 2009

Tiada ulasan: