KOTA KINABALU 20 Julai - Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) bercadang menubuhkan Kelab USIA di semua sekolah menengah sebagai usaha pertubuhan itu mendekati golongan pelajar di negeri ini.
Timbalan Yang Dipertuanya, Datuk Lajim Ukin berkata, sebagai langkah permulaan, pihaknya akan mengemukakan kertas kerja mengenai cadangan tersebut kepada Jabatan Pelajaran Sabah.
''Bagaimanapun, kami akan memperincikan cadangan ini terlebih dahulu sebelum menyerahkannya kepada Jabatan Pelajaran. Kami mahu meneliti cadangan ini agar ia dapat dilaksanakan berdasarkan konsep dan matlamatnya," katanya.
Beliau berkata demikian pada mesyuarat jawatankuasa kewangan dan keahlian pertubuhan itu di ibu pejabat USIA di Sembulan, semalam.
Hadir sama ialah Timbalan Yang Dipertua, Tan Sri Ampong Puyun; Naib Yang Dipertua, Datuk Matussin Awang Damit dan Setiausaha Agung, Datuk Abdullah Hussin.
Lajim yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, cadangan tersebut dianggap sejajar dengan matlamat USIA untuk menarik lebih ramai generasi muda ke dalam pertubuhan itu.
Menurut beliau, sudah tiba masa bagi pertubuhan itu melangkah ke hadapan bagi merapatkan generasi muda khususnya golongan pelajar Islam terhadap peranan dan tanggungjawab yang dimainkan USIA dalam menyebarkan dakwah di negeri ini.
Beliau berkata, program ke sekolah-sekolah itu bukan sahaja dilihat mampu menarik golongan muda untuk menyertai pertubuhan tersebut tetapi mampu membantu sekolah menangani beberapa masalah sosial remaja.
''Kita tidak nafikan ada program keagamaan yang dilaksanakan oleh pihak sekolah, bagaimanapun hasrat kita adalah untuk membantu pihak sekolah dengan menyediakan beberapa program dakwah yang sesuai khusus untuk membina jati diri akhlak serta moral pelajar sekolah," ujarnya.
Terdahulu ketika mempengerusikan mesyuarat itu, Lajim meminta semua bahagian USIA berusaha menambah keahlian cawangan di bahagian masing-masing.
Katanya, kekerapan melaksanakan program-program keagamaan mampu membentuk hubungan dan menjadi pendorong kepada umat Islam menyertai pertubuhan itu.
Utusan Malaysia Online: 21 Julai 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan