Sabtu, 25 Julai 2009

Bahasa Kadazan Dusun ditawar dalam PMR

KOTA KINABALU 24 Julai - Kementerian Pelajaran akan mula menawarkan mata pelajaran Bahasa Kadazan Dusun dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) untuk sekolah-sekolah di negeri ini bermula tahun ini.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Dasar dan Pembangunan Pendidikan), Dr. Haili Dolhan berkata, mata pelajaran bahasa itu juga akan ditawarkan di tingkatan empat menjelang tahun 2010.

Menurutnya, usaha itu dilakukan untuk memartabatkan lagi bahasa itu di negeri ini.

Beliau memberitahu, pada masa ini bilangan pelajar yang mengambil subjek Bahasa Kadazan Dusun di sekolah rendah sudah menjangkau 18,424 orang dan di sekolah menengah seramai 1,962 orang.

"Langkah itu selaras dengan objektif pengajaran dan pembelajaran bahasa Kadazandusun iaitu supaya pelajar boleh bertutur dalam bahasa itu dan menyambung warisan tradisi dan budaya turun-temurun mereka.

"Jadi, harapan Kementerian Pelajaran supaya jumlah pelajar yang mengambil dan menduduki peperiksaan subjek Bahasa Kadazan Dusun akan bertambah dari tahun ke tahun," katanya semasa berucap pada majlis penutupan Kolokium Kadazandusun di sini semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Penolong Pengarah Bahasa dan Kesusasteraan Kementerian Pelajaran, Dr. Lee Boon Hua.

Menurut Haili, pengajaran dan pembelajaran bahasa Kadazandusun telah bermula di sekolah rendah di negeri ini sejak 1997 dan di sekolah menengah pada 2006.

Jelasnya, jumlah sekolah rendah yang menawarkan subjek Bahasa Kadazan Dusun adalah sebanyak 260 buah manakala sekolah menengah pula 53 buah.

Beliau berharap, para guru subjek Bahasa Kadazan Dusun dapat mempelbagaikan cara pengajaran dan pembelajaran bagi menarik minat lebih ramai pelajar mengambil subjek bahasa itu.

"Memandangkan pelajar di sekolah rendah begitu aktif sekali, pelajar akan berasa seronok jika pembelajaran mereka dibuat secara tidak bersahaja umpamanya melalui permainan tradisi yang hampir dilupakan,'' ujarnya.

Selain itu jelasnya, dalam era ledakan teknologi maklumat, para guru juga boleh mewujudkan laman web untuk penulisan puisi Kadazan Dusun.

Utusan Malaysia Online: 25 Julai 2009

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

tapi sy ingin bertanya...adik sy yg kini bersekolah di tingkatan dua mengatakan bukan semua pelajar dipilih untuk mempelajari bahasa tersebut, termasuk adik sy sendiri...walhal, adik sy begitu berminat untuk mengikut subjek tersebut...sila beri komen.

YANG PRIHATIN