Selasa, 28 Julai 2009

RM3.6j beli alat cegah wabak di sekolah

JOHOR BAHRU 27 Julai - Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM3.6 juta kepada sekolah di seluruh negara untuk membeli peralatan pencegahan penularan wabak selesema babi atau influenza A (H1N1).

Pembelian peralatan seperti termometer, penutup mulut dan hidung serta sanitizer itu diluluskan Kementerian Pelajaran dalam mesyuarat Jawatankuasa Induk 3K (Kebersihan, Kesihatan dan Keselamatan) minggu lalu.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, peruntukan tersebut akan disalurkan kepada Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dalam tempoh terdekat untuk diedarkan ke sekolah-sekolah.

''Setiap sekolah akan mendapat satu termometer. Jumlah penutup mulut dan hidung serta sanitizer yang akan diberi itu bergantung kepada jumlah pelajar,'' katanya selepas mendengar taklimat berkenaan H1N1 di JPN Johor di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kementerian tidak akan menangguhkan peperiksaan biarpun terdapat beberapa sekolah yang terpaksa ditutup akibat wabak tersebut.

Kata beliau, sekiranya sekolah itu dijangkiti H1N1, Lembaga Peperiksaan telah mengatur alternatif untuk mengendalikan peperiksaan berkenaan.

Menurut Ka Siong, kementerian memaklumkan kepada setiap negeri dan dari semasa ke semasa Lembaga Peperiksaan akan menghubungi pihak sekolah termasuk pengawas peperiksaan untuk mengambil langkah sewajarnya termasuk membuka bilik khas.

''Kita awal-awal lagi telah membuat persiapan bagi menghadapi wabak penyakit yang mengancam perjalanan peperiksaan.

''Jika ada pelajar dihantar ke hospital, dia akan dimasukkan ke dalam bilik khas. Pembatalan atau penangguhan peperiksaan adalah jalan terakhir. Kita tidak akan membuat pilihan tersebut seandainya kita dapat lakukan kesemua ini,'' katanya.

Peperiksaan seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) akan berlangsung 8 hingga 10 September, Penilaian Menengah Rendah (PMR) dari 7 hingga 9 Oktober, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 19 Oktober - 16 Disember, Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 19 - 27 Oktober dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dari 18 November hingga 10 Disember.

Sementara itu, Ka Siong memberitahu, mulai hari ini, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Johor Bahru ditutup selama seminggu kerana tiga daripada pelajarnya disyaki positif H1N1.

Sebelum ini, Sekolah Menengah Teknik Perdagangan Johor Bahru ditutup selama seminggu bermula 24 Julai lalu kerana 59 pelajarnya disyaki menghidap penyakit serupa influenza (ILI).

Utusan Malaysia Online: 28 Julai 2009

Tiada ulasan: