KUALA LUMPUR, 17 Julai - Kementerian Pelajaran Malaysia akan memperkenalkan kurikulum baru bagi memantapkan pengajaran Bahasa Inggeris (BI) bagi peringkat rendah serta menengah selewat-lewatnya Januari tahun depan.
Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata kurikulum baru itu akan menggabungkan pelbagai kaedah pengajaran sedia ada dan tambahan termasuk muzik, sastera, 'choral speaking' dan sebagainya.
"Pihak kementerian akan membincangkan perkara itu dengan lebih lanjut selepas duduk semeja dengan badan bukan kerajaan (NGO), kesatuan perguruan serta pakar-pakar dalam bahasa Inggeris bagi merangka kertas konsep (cadangan) untuk diteliti, kita anggarkan empat hingga lima bulan bagi menyiapkan kurikulum itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata, pakar-pakar bahasa Inggeris dari dalam dan luar negara turut akan dipanggil dalam masa terdekat untuk memberi input membentuk kurikulum itu.
Terdahulu, beliau merasmikan Seminar Memartabatkan Profesion Keguruan yang dihadiri guru, kesatuan guru serta NGO dari seluruh negara.
Seminar dua hari anjuran bersama Kementerian Pelajaran dan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) yang julung kali diadakan itu bertujuan membincangkan masalah serta mencari hala tuju baru bagi profesion keguruan.
Alimuddin berkata, keputusan untuk memperkenalkan kurikulum baru itu dibuat berikutan pengumuman pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), yang berkuat kuasa 2012 oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran turut mengarahkan PPSMI diganti dengan strategi memartabatkan bahasa Malaysia serta memantapkan pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris di semua peringkat persekolahan.
Katanya, kementerian juga sedang dalam peringkat menyediakan lima buah Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) termasuk di Terengganu, Sabah dan Sarawak bagi menggunakan 100 peratus Bahasa Inggeris dalam pembelajarannya.
"Ini bagi menyediakan bakal-bakal guru berkenaan agar menguasai sepenuhnya bahasa itu sebelum mengajar dan proses penyediaan ini dijangka mengambil masa dua hingga tiga tahun," katanya lagi. - BERNAMA
Utusan Malaysia Online: 18 Julai 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan