Ahad, 12 Julai 2009

Waktu pengajaran BI ditambah 100 peratus

KUALA LUMPUR 11 Julai - Waktu pembelajaran mata pelajaran Bahasa Inggeris terutama di sekolah kebangsaan akan ditambah 100 peratus bagi menjadikan pengajarannya sebagai keutamaan menjelang 2012.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pada masa ini waktu pembelajaran Bahasa Inggeris di sekolah-sekolah ialah 14 peratus daripada keseluruhan waktu belajar.

"Peratusan itu akan dinaikkan kepada 30 peratus apabila Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di sekolah dimansuhkan menjelang 2012," katanya.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan gagasan 1Malaysia peringkat Kementerian Pelajaran di Stadium Taman Tasik Titiwangsa di sini hari ini.

Jelas Muhyiddin, perancangan dan perincian kurikulum susulan daripada pemansuhan PPSMI akan diumumkan selepas ini dan ia hanya akan dilaksanakan pada 2012.

"Perkara lain yang akan dimasukkan dalam kurikulum yang baru ialah guru yang terlatih, pengajaran tatabahasa dan kesusasteraan bahasa Inggeris, pengajaran sains dan teknologi dalam bahasa Inggeris dan makmal bahasa Inggeris.

"Sehingga 2012, kurikulum yang sedia ada masih dibenarkan untuk terus diguna pakai," katanya.

Tambah Muhyiddin, dalam isu pemansuhan PPMSI, apa yang kerajaan mahukan ialah penyelesaian baik dan teratur bukannya penyelesaian tiba-tiba serta tergesa-gesa yang boleh memberi kesan buruk kepada para pelajar.

"Kita hendak soft landing (pendaratan yang selamat) bukannya crash landing (terhempas). Jangan crash landing sebab nanti banyak orang yang mati.

"Kanak-kanak dalam kohor (tidak terburu-buru) tertentu yang terpaksa menghadapi zaman transisi perlu diberi ruang. Kemudian barulah kita bawa masuk kurikulum yang baru," jelasnya.

Mengenai tinjauan melalui blog bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menunjukkan 80 peratus daripada 26,000 pengunjung blog membantah pemansuhan PPSMI, Muhyiddin berkata, beliau menghormati pandangan tersebut.

"Tak apalah... Saya fikir kita sudah buat keputusan. Sesiapa pun kita hormatlah pandangan mereka. Memang dalam negara kita ada pelbagai kumpulan yang mempunyai pandangan berbeza-beza.

"Apa pun sebelum memutuskan perkara itu kita sudah buat kajian yang mendalam dengan pensampelan (soal selidik) yang kita buat di seluruh negara. Bahan-bahan yang kita terima membuktikan memang perubahan dasar perlu dibuat," jelas beliau.

Tambah Muhyiddin, jadi kalau ada pihak lain yang beri pandangan beliau menghormati pandangan berkenaan.

"Yang penting keputusan yang telah dibuat adalah keputusan muktamad," jelasnya.

Utusan Malaysia Online: 12 Julai 2009

Tiada ulasan: