Rabu, 22 Julai 2009

Teliti cadangan elaun guru BM

PUTRAJAYA: Cadangan pemberian elaun kepada guru yang mengajar mata pelajaran Bahasa Malaysia seperti Bayaran Imbuhan Subjek Penting (BISP) yang diberikan kerajaan kepada guru mata pelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris, perlu diteliti berikutan ia membabitkan peruntukan yang besar jika dilaksanakan.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata BISP yang diberikan kepada guru mata pelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris mencecah jutaan ringgit setahun.

“Untuk menambah elaun seperti ini, ia agak sukar dilakukan kerana dalam masa sama, ketika ini, kita mengambil langkah kurangkan perbelanjaan lain dalam usaha memartabatkan bahasa Malaysia dan memperkukuhkan Bahasa Inggeris di sekolah.

“Tapi, kita akan bincangkan cadangan dan pandangan daripada warga pendidik itu,” katanya selepas Majlis Perhimpunan Khas Menteri Pelajaran Bersama Warga Pendidik di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, semalam.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran memberi ucapan pada majlis yang dihadiri kira-kira 3,000 warga pendidik dari seluruh negara itu.

Cadangan itu ditimbulkan seorang warga pendidik ketika sesi soal jawab bersama Alimuddin.

BISP diberikan 10 peratus kepada guru lulusan Diploma iaitu kira-kira RM200 sebulan jika berdasarkan gaji bulanan RM2,000 manakala guru lulusan ijazah mendapat lima peratus atau kira-kira RM175 sebulan berdasarkan gaji bulanan RM3,500 sebulan.

Ketika ini, kerajaan mengeluarkan peruntukan RM40 juta setahun bagi membiayai elaun berkenaan.

BISP diperkenalkan kerajaan selaras dengan pelaksanaan PPSMI pada 2003 lalu.

Bagaimanapun, pada 8 Julai lalu, Muhyiddin mengumumkan langkah kerajaan memartabatkan Bahasa Malaysia dan memantapkan Bahasa Inggeris di sekolah, serta pemansuhan PPSMI pada 2012.

Utusan Malaysia Online: 22 Julai 2009

Tiada ulasan: