Sabtu, 11 Julai 2009

STU sambut baik mansuh PPSMI

KUCHING 10 Julai - Pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) berkuat kuasa 2012 membolehkan kerajaan menumpukan perhatian kepada permasalahan yang dihadapi pelajar di sekolah-sekolah luar bandar.

Presiden Kesatuan Guru Sarawak (STU), William Ghani Bina yang menyambut baik keputusan itu berkata, jurang perbezaan bagi sekolah-sekolah di bandar dan di luar bandar terutama di Sabah dan Sarawak perlu dikecilkan.

Beliau berkata, pihaknya mahu setiap anak-anak Malaysia mempunyai peluang yang sama rata dalam bidang pelajaran terutamanya daripada segi kemudahan prasarana yang diterima mereka.

''Tanpa kemudahan prasarana yang mencukupi bagi kanak-kanak di kawasan luar bandar, mereka akan kerugian kerana mereka memerlukan pendedahan yang lebih," katanya di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai keputusan kerajaan memansuhkan dasar PPSMI yang diperkenalkan pada 2003 itu.

Dengan pemansuhan itu, mata pelajaran Sains dan Matematik akan kembali diajar dalam bahasa Melayu di Sekolah Kebangsaan manakala bahasa ibunda di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil mulai 2012.

Ghani berkata, bagi mengurangkan kesan kepada pembelajaran murid-murid, langkah peminjaman istilah bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu boleh digunakan.

Ujar beliau, tidak dapat dinafikan langkah pemansuhan PPSMI akan memberi kesan kepada pelajar yang mungkin sudah biasa dengan pembelajaran dalam bahasa Inggeris.

''Penggunaan ayat (bahasa Inggeris) yang hampir serupa kepada istilah asal dapat membantu mengelak dari timbulnya kekeliruan dalam pembelajaran Sains dan Matematik selepas ia diperkenalkan pada 2012," katanya.

Utusan Malaysia Online: 11 Julai 2009

Tiada ulasan: