Rabu, 22 Julai 2009

Langkah kuasai bahasa Inggeris

Oleh Kamarulzaman Pid
amar@hmetro.com.my


PUTRAJAYA: Pendidikan di peringkat prasekolah akan dijadikan sebahagian sistem pendidikan kebangsaan selaras usaha kerajaan bagi memantapkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata langkah itu juga selaras dengan usaha kerajaan mewajibkan kelulusan bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Kalau di peringkat prasekolah kita boleh memasukkan satu tempoh jangka waktu bagi pembelajaran Bahasa Inggeris sesuai dengan guru yang terlatih, mungkin tidak sampai enam tahun (peringkat sekolah rendah), dalam masa dua tiga tahun sudah pasti boleh kita kuasai.

“Kalau tak cukup enam tahun, tambah lagi lima tahun (peringkat sekolah menengah) sampai ke peringkat SPM takkanlah gagal juga?,” katanya pada Majlis Perhimpunan Khas Menteri Pelajaran bersama warga pendidik di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong dan Dr Mohd Puad Zarkashi; Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Tan Sri Dr Zulkurnain Awang dan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.

Timbalan Perdana Menteri berkata, guru terlatih Bahasa Inggeris akan dibekalkan ke prasekolah bagi merealisasikan hasrat.

“Saya lihat ramai ibu bapa menghantar anak ke prasekolah dan dalam tempoh dua dan tiga tahun, mereka dapat menguasai asas Bahasa Inggeris,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan sedar cadangan mewajibkan lulus Bahasa Inggeris peperiksaan SPM membimbangkan banyak pihak terutama pelajar di luar bandar.

“Keputusan peperiksaan SPM 2008, contohnya, hanya 26.9 peratus calon luar bandar lulus Bahasa Inggeris, bermakna 73.1 peratus pelajar luar bandar akan gagal memperoleh sijil sekiranya syarat itu dilaksanakan.

“Bagaimanapun, kerajaan tidak boleh mengambil pendekatan ‘menurunkan untuk melaraskan’ dalam usaha meningkatkan mutu pendidikan negara, sebaliknya perlu berani untuk mengambil pendekatan ‘meningkatkan untuk melaraskan’ iaitu berusaha sedaya upaya meningkatkan keupayaan pelajar lemah dalam menguasai sesuatu ilmu sehingga menguasai dengan baik.

“Dalam konteks penguasaan Bahasa Inggeris, syarat wajib lulus BI usaha ‘meningkatkan untuk melaraskan’ yang akan mengangkat keupayaan pelajar kita, terutama pelajar luar bandar menguasai BI dengan lebih baik dan sekali gus membolehkan mereka bersaing dalam dunia kian kompetitif,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, langkah kerajaan mengambil pendekatan mengubah sistem pendidikan kebangsaan terutama pemansuhan Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) mulai 2012, perlu disokong warga pendidik.

myMetro: 22 Julai 2009

Tiada ulasan: