Isnin, 20 Julai 2009

Pertimbang mansuh UPSR

KUALA LUMPUR 19 Julai - Sudah masanya kerajaan menimbang untuk memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi memastikan murid tidak terkongkong dengan peperiksaan setara tanpa mengikut kebolehan mereka yang sebenar.

Pro Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tan Sri Dr. Abdul Rahman Arshad berkata, langkah itu penting untuk mengelakkan murid yang kurang berkebolehan terus tertinggal jika peperiksaan setara di peringkat pusat diteruskan.

Katanya, beliau pernah menyarankan kepada kerajaan supaya mewujudkan peperiksaan dalaman di peringkat sekolah kerana dengan itu boleh dikenal pasti murid yang perlu dibantu untuk dimajukan.

''Untuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) boleh diteruskan. Tetapi untuk UPSR, kita perlu rombak sistemnya, malah jika kita lihat jangka panjang Penilaian Menengah Rendah (PMR) juga patut dimansuhkan.

''UPSR umpamanya seperti tiada peranan lagi. Lulus atau tidak mereka akan naik ke sekolah menengah juga. Jadi, yang tertinggal pun akan naik dan yang pandai kena tunggu enam tahun untuk naik sekolah menengah, jadi murid di sini mudah bosan,'' katanya.

Semalam, Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Razali Ibrahim mencadangkan UPSR perlu dimansuhkan kerana ia didapati tidak fokus kepada pencapaian murid dalam semua mata pelajaran.

Sebaliknya, kata Razali, UPSR menjadi medium persaingan murid untuk memasuki sekolah berasrama penuh dengan hanya menumpukan kepada lima mata pelajaran sahaja.

Sementara itu, menurut Dr. Abdul Rahman, matlamat asal diwujudkan peperiksaan setara di peringkat sekolah rendah sudah lari kerana dahulu ia diadakan untuk menentukan siapa yang layak ke sekolah menengah.

Namun, katanya, sekarang ini semua tetap layak ke sekolah menengah, jadi lebih baik ia digantikan dengan peperiksaan dalaman untuk mengelakkan ada murid yang tertinggal.

''Saya melihat begini, kalau automatik nanti ada pelajar yang di tingkatan lima tetapi berkebolehan tingkatan dua lalu, mereka akan jadi tawar.

''Lebih baik kita berikan ruang dengan peperiksaan dalaman yang bertujuan untuk memperbetulkan mereka. Mana yang kurang maju, boleh dimajukan.

''Kalau setakat hendak tengok siapa layak ke sekolah berasrama penuh, itu kita boleh buat peperiksaan berasingan yang khusus untuk tengok kepintaran atau ciri-ciri lain yang perlu, bukan dengan UPSR,'' jelasnya.

Menyentuh mengenai SPM, beliau berkata, sepatutnya di peringkat ini, sekolah-sekolah patut menggalakkan pelajar kurang berkebolehan mengambil jumlah subjek yang minimum.

Katanya, ini supaya pelajar yang kurang pandai dapat dimajukan dengan subjek yang lebih sedikit apabila keupayaan mereka yang terhad itu tidak terbeban sehingga 10 subjek misalnya.

''Pada saya, biarlah enam subjek minimum cukup. Kita tidak mahu pelajar yang kurang kebolehan ini 'cair' kalau banyak sangat subjek dibebankan.

''Kalau enam itu baik markahnya, mereka juga boleh masuk ke universiti. Itulah juga akhirnya harapan kita kepada mereka,'' ujarnya yang juga Pro Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Utusan Malaysia Online: 20 Julai 2009

Tiada ulasan: