Khamis, 23 Julai 2009

R&D: Masalah guru kaunseling

Oleh Rosniza Mohd Taha
yoniza@bharian.com.my


PRODIGY mendapat pengiktirafan peringkat kebangsaan dan pendedahan di Geneva.

Penyelidik UPSI hasilkan Prodigy bantu kaunselor tingkat kemahiran, jalan tugas lebih berkesan

BEBAN tugas banyak, kurang mahir menjalankan program serta tidak mempunyai bahan atau maklumat bagi mengendalikan perkhidmatan adalah antara masalah dihadapi guru bimbingan dan kaunseling melaksanakan tanggungjawab mereka.

Justeru, sekumpulan penyelidik Jabatan Bimbingan dan Kaunseling, Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) diketuai Ab Aziz Mohd Yatim menghasilkan modul perisian interaktif bersepadu bimbingan dan kaunseling, Prodigy, bagi merungkai segala permasalahan itu.

Ab Aziz berkata, perisian itu dibangunkan bagi membantu kaunselor melengkapkan diri dengan kemahiran berkaitan supaya dapat menjalankan tugas lebih cekap dan berkesan.

Menerusi dua kandungan utamanya, iaitu pengurusan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling serta modul latihan kursus, beliau berkata:

“Pengurusan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling mengandungi penyediaan kertas kerja program, analisis, penerbitan buletin, carta Gantt, soal selidik program, perancangan program, e-kaunseling, jadual, laporan, penyediaan sijil, buku program dan borang berkaitan.



“Kandungan modul latihan kursus pula membabitkan ice-breaking, energizer, kemahiran belajar lima domain, motivasi tenaga bawah sedar (subconscious), kemahiran komunikasi P, A, C, (parents, adult, child).

“Selain itu, pengendalian disiplin alternatif, kasih sayang tanpa syarat (Agape Love), kepemimpinan, kerjaya, personaliti, bina pasukan (team building), relaksasi, kembarun, penghasilan video serta modul pemikiran kreatif.”

Menggunakan modul pengurusan perkhidmatan, beliau berkata, masalah penulisan laporan, kertas kerja, sesi kaunseling dan perancangan bulanan dapat dilakukan lebih sempurna kerana proses dokumentasinya boleh disiapkan dalam tempoh singkat.

Ab Aziz berkata, ketidakupayaan guru bimbingan dan kaunseling menjalankan kursus atau program pula dapat diatasi menerusi modul latihan kursus yang membolehkan mereka melihat kaedah pengendalian modul tertentu melalui VCD dibekalkan.

“Dengan memiliki modul ini, kaunselor akan dapat mengendalikan kursus mengikut kepelbagaian keadaan pelajar seperti nakal, cemerlang, kepemimpinan, lemah pelajaran, kursus bina pasukan, keibubapaan dan kemahiran belajar tanpa pergantungan tinggi terhadap perkhidmatan perunding motivasi luar,” katanya.

Mengenai pendekatan modul itu, beliau berkata, ia lebih mesra pelajar seperti Ice Breaking mengandungi permainan kreatif menggalakkan pelajar menonjolkan potensi dan aspek positif dalam diri seperti rasa hormat kepada rakan, toleransi dan persaingan sihat.

Modul kemahiran belajar lima domain pula, katanya, antara lain membimbing pelajar menggunakan konsep sinergi dan kreativiti untuk merangsang otak kanan bekerja supaya dapat belajar dengan berkesan serta mengingati kandungan pembelajaran dengan lebih mudah.

Beliau berkata, pemupukan kasih sayang dalam komuniti pula diwujudkan menerusi modul Agape Love yang menggalakkan peserta mengamalkan sikap positif itu tanpa mengira agama, bangsa dan kaum sejajar semangat Satu Malaysia.

“Selain kegunaan guru bimbingan dan kaunseling di sekolah, Prodigy juga boleh dimanfaat kaunselor pelajar institusi pengajian tinggi serta pengendali program latihan bagi membangun potensi diri golongan sasaran,” katanya.

Prodigy mendapat beberapa pengiktirafan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, antaranya pingat perak pada Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi (Itex 2009), Anugerah Inovasi UPSI 2005, selain turut didedahkan pada Pameran Antarabangsa Reka Cipta, Produk dan Teknik Baru 2006 di Geneva, Switzerland.

INFO: 10 teras Modul

1) Modul Ice Breaking- Permainan kreatif menggalakkan pelajar menonjolkan potensi dan aspek positif mereka.

2) Modul Kemahiran Belajar Lima Domain- Gaya pembelajaran membabitkan lima domain, iaitu audio, visual, kognitif, afektif dan psikomotor.

3) Modul Agape Love (Kasih Sayang Tanpa Syarat)- Perkongsian cerita dan pengalaman bersama peserta bagi mewujudkan suasana kasih sayang dalam komuniti.

4) Modul Subconscious (Tenaga Bawah Sedar)- Perkongsian cerita dan pengalaman bagi menimbulkan kesedaran peserta mengenai kekuatan dalaman untuk dimanfaat bagi meningkat pencapaian akademik ke tahap cemerlang.

5) Modul Kembarun- Aktiviti luar yang menguji tahap kekuatan sesebuah kumpulan bagi menyedarkan peserta bahawa dalam mengharungi kehidupan mesti ada halangan dan cabaran serta setiap kejayaan ditempa mesti menempuh kesusahan

6) Modul Komunikasi- Ceramah mengenai kemahiran komunikasi melalui pendekatan komunikasi Transaksional dipelopori Erick Berne, iaitu parent, adult dan child (PAC).

7) Modul Personaliti- Peserta didedahkan ciri personaliti diri melalui ujian personaliti bagi mengenal pasti kekuatan dan kelemahan mereka.

8) Modul Inteam- Menguji kekuatan sesuatu kumpulan dalam mengharungi permasalahan organisasi bagi memberi kesedaran pentingnya kerja berpasukan, selain meningkatkan semangat kekitaan dan kerjasama.

9) Modul Kerjaya- Ujian Inventori dibekalkan kepada peserta bagi mengenali diri dan potensi diri melalui enam jenis personaliti dan persekitaran kerja.

10) Modul Relaksasi- Ceramah pengurusan tekanan bagi membolehkan peserta menghadapi dan mengendali tekanan terutama pada saat genting seperti peperiksaan atau mengalami masalah peribadi.

Berita Harian Online: 23 Julai 2009

Tiada ulasan: