Rabu, 22 Julai 2009

Prasekolah jadi sebahagian sistem pendidikan negara

Oleh Ziauddin Sharuddin, Saufi Hamzah dan Hussain Said
bhnews@bharian.com.my


MUHYIDDIN bertanya sesuatu kepada pelajar ketika melawat SMK Senawang dan SMK Senawang 3, Senawang, semalam. Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan (kiri), Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaludin (dua dari kiri) dan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.

Guru terlatih disedia mantap penguasaan BI: Muhyiddin

PUTRAJAYA: Pendidikan prasekolah bakal dijadikan sebahagian daripada sistem pendidikan negara bagi meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris (BI) bermula daripada peringkat awal, sekali gus memantapkan penguasaan bahasa itu di kalangan murid.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata bagi tujuan itu, prasekolah akan dibekalkan guru BI terlatih sebagai usaha mencapai sasaran apabila ia dilaksanakan kelak.

"Ramai ibu bapa menghantar anak ke prasekolah. Dalam jangka waktu yang sesuai dengan guru terlatih, mungkin dalam masa dua tiga tahun saja kita boleh kuasai bahasa itu," katanya pada majlis perjumpaan khas Menteri Pelajaran bersama warga pendidik di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini semalam.

Beliau berkata, kerajaan menyedari kebimbangan sesetengah pihak jika syarat wajib BI dilaksanakan sekarang, ramai pelajar terutama di luar bandar akan terkandas.

"Dalam peperiksaan SPM 2008, hanya 26.9 peratus calon luar bandar lulus BI. Ia bermakna 73.1 peratus pelajar di luar bandar akan gagal memperoleh sijil jika ia dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata, 394,000 warga pendidik perlu memberikan komitmen sepenuhnya terhadap keputusan kerajaan memansuhkan PPSMI bagi menjamin masa depan pelajar dan keupayaan menguasai ilmu untuk membolehkan mereka menjadi sumber manusia berkualiti atau mampu bekerja sendiri.

"Ia memerlukan komitmen sepenuhnya, bukan separuh hati. Kita tidak akan ada rasa berbelah bagi dan tak nak ada pro dan kontra," katanya sambil mengulangi pemansuhan PPSMI bukan keputusan politik sebaliknya memerlukan iltizam politik yang tinggi untuk dilaksanakan.

Muhyiddin berkata, walaupun ada suara membantah terutama menerusi akhbar dan blog, kumpulan majoriti yang tidak bersuara juga harus diambil kira.

Beliau berkata, strategi Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) adalah dasar baru yang menjadi sebahagian daripada proses penambahbaikan berterusan dasar pendidikan negara.

Di SEREMBAN, Muhyiddin berkata, kerajaan akan memberi insentif tambahan kepada guru BI yang berkhidmat di luar bandar bagi memastikan pelajar tidak ketinggalan apabila strategi memperkukuhkan penguasaan bahasa itu dilaksanakan pada 2012.

Beliau berkata, keutamaan diberikan kepada guru Bahasa Inggeris cemerlang berkhidmat di luar bandar kerana Bahasa Inggeris adalah antara mata pelajaran paling rendah pencapaiannya di kalangan pelajar luar bandar.

"Bentuk insentif belum diputuskan kerana memerlukan penelitian lanjut," katanya selepas merasmikan Konvensyen Pendidikan Guru Besar Malaysia Ke-15 dan Persidangan Perwakilan Kebangsaan Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia Ke-2.

Berita Harian Online: 22 Julai 2009

Tiada ulasan: