Ahad, 12 Julai 2009

Model baru pendidikan jawab kebimbangan mansuh PPSMI

Zainul Arifin
zainul@nstp.com.my

PELBAGAI sambutan terhasil daripada pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), tetapi tumpuan kini sudah tentu ke atas bantahan yang diterima, terutama daripada ibu bapa.

Banyak undian dan pungutan suara diadakan yang rata-rata, secara amnya membantah keputusan ini. Malah undian di laman web berbahasa Malaysia pun tidak memberi sokongan padu kepada keputusan ini.

Memang kita boleh disangsikan keputusan undian alam maya ini, namun kita tidak boleh menafikan wujud sekumpulan besar rakyat Malaysia, termasuk orang Melayu yang kurang senang dengan keputusan Kementerian Pelajaran.

Kumpulan yang mahukan PPSMI dimansuhkan pula semestinya gembira, oleh itu, tidak perlu banyak menulis atau membuat kenyataan. Kejayaan sudah di tangan, kini masa merai kemenangan.

Sebenarnya sesiapa yang mengikuti isu ini tentu sudah dapat menjangka keputusan ini. Jika dikaji, kenyataan-kenyataan sebelum ini seolah-olah mahu mempersiapkan kita akan keputusan ini.

Contohnya, cadangan untuk menambah dan memperbaiki pengajaran Bahasa Inggeris dengan mementingkan tatabahasa dan sastera, atau cadangan wajib lulus bahasa itu untuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), digubah seolah-olah untuk menunjukkan bahawa pentingnya di dalam perkiraan kerajaan kedudukan bahasa Inggeris di dalam perancangan pendidikan kita.

Namun, sebab utama dasar diubah ialah pencapaian murid untuk mata pelajaran Matematik, Sains atau Bahasa Inggeris tidak menunjukkan perubahan yang ketara dengan PPSMI. Juga didapati terlalu sedikit guru yang melaksanakan PPSMI dengan sepenuhnya. Sama ada keupayaan bahasa Inggeris yang lemah ataupun kasihan kepada murid yang tidak boleh berbahasa Inggeris

Didapati juga jurang pencapaian antara murid di bandar dan luar bandar masih kekal untuk mata pelajaran itu.

(Tetapi kita juga perlu ingat jurang antara bandar dan desa wujud juga sebelum PPSMI dan ia mungkin hasil daripada perbezaan sosioekonomi dan bukannya bahasa pengantara.

(Kita juga perlu berhati-hati bila merumuskan fenomena ini, kerana kadang-kadang kita bercakap seolah-olah orang luar bandar tiada upaya untuk belajar dan menguasai bahasa Inggeris. Ia tentulah tidak benar kerana banyak tokoh pemimpin, perniagaan dan juga pentadbiran yang dulunya mandi di sungai dan tandas di luar rumah, yang kini menguasai bahasa Inggeris dengan baik.)

Tidak kurang penting juga sebab PPSMI dimansuh ialah kerana terlalu sedikit sokongan orang politik - baik pada pihak kerajaan atau pembangkang. Bagi mereka yang menangguk di air keruh, kini mereka mengkritik pemansuhan PPSMI, walaupun dulu mereka sama berarak menentang polisi itu.

Seperkara lain, apakah pendirian pejuang bahasa Melayu mengenai kedudukan bahasa itu di sekolah jenis kebangsaan China dan Tamil?

Di sekolah ini, bahasa Malaysia digunakan kurang 20 peratus seminggu. Dengan penambahan waktu untuk Bahasa Inggeris dan Matematik dan Sains diajar di dalam bahasa Mandarin atau Tamil, apakah nasib bahasa Malaysia sebagai bahasa untuk semua rakyat Malaysia.

Sebenarnya, bahasa Malaysia ialah bahasa ketiga di sekolah-sekolah ini.

Apakah kita hanya mahu menumpukan perhatian kita kepada sekolah kebangsaan yang mana hampir keseluruhan pelajarnya Melayu?

Kini di dalam urusan harian kita kita akan bertemu rakyat Malaysia yang penguasaan bahasa Malaysia sungguh memalukan. Walaupun sudah bertahun-tahun belajar, bukan saja sebutan pelat, tetapi tatabahasa mereka seakan-akan pekerja asing yang baru turun kapal terbang.

Adakah sebab aktivis sekolah Cina dan Tamil adalah rakan seperjuangan dalam pemansuhan PPSMI, maka pejuang bahasa kita hanya menjeling sebelah mata kedudukan bahasa Malaysia di sekolah jenis kebangsaan?

Walau bagaimanapun, apa saja pandangan kita mengenai pemansuhan PPSMI, kita patut berterima kasih bahawa keputusan sudah dibuat. Kini kita boleh memandang ke hadapan, mencatur langkah dan bergerak berbanding ketidaktentuan lebih setahun bila PPSMI mula dibincang dengan meluas.

Nyata, kebimbangan sebahagian daripada masyarakat adalah hasil daripada persoalan yang berguni-guni terkumpul di kalangan ibu bapa. Soalan-soalan, kebimbangan dan kesangsian akan ditokok tambah apabila mereka berjumpa dan berbual. Di kalangan mereka semakin lama berbincang, dirasakan semakin sugul dan malap masa depan anak-anak mereka.

“Kenapa kita sanggup menggadai masa depan anak-anak kita yang akan tinggal di dunia yang mana sempadan semakin luput dan di mana pengaruh bahasa Inggeris semakin bertambah?”

“Apakah kita tidak tahu bagaimana bahasa Inggeris membolehkan anak kampung kita menjadi anggota kelas menengah dan mampu berdiri bersebelahan bangsa lain di persada dunia?”

Kepada yang kecewa dengan keputusan ini, cubalah cari jalan bagaimana mereka boleh menyumbang kepada model baru pendidikan ini. Adalah lebih baik mereka membantu untuk menyelesaikan kebimbangan dengan bekerjasama dengan kementerian.

Kini keputusan sudah dibuat dan apa yang perlu dilakukan kerajaan ialah untuk menunjukkan sistem baru yang akan digunakan akan mempunyai kesan lebih baik daripada PPSMI. Tidak perlu tunggu 2012.

Kerajaan perlu memberitahu kita rupa bentuk dan cara model baru pendidikan yang dikatakan akan memberi penyelesaian yang lebih menyeluruh - memartabatkan bahasa Malaysia, memantapkan bahasa Inggeris dan menjayakan pendidikan Sains dan Matematik.

Rakyat perlu diyakinkan bahawa keputusan ini wajar dan tindakan seterusnya bukan saja akan menjawab segala persoalan kita, tetapi juga akan melegakan kebimbangan kita.

Kerajaan perlu tunjukkan kepada kita keputusan ini bukan terhasil daripada desakan politik dan ia berlandaskan kepada keinginan mengadakan masa hadapan yang lebih baik untuk anak-anak kita dan juga untuk bahasa Malaysia.

Berita Harian Online: 12 Julai 2009

Tiada ulasan: