Oleh Norliza Abdullah
liza@bharian.com.my
AHMAD FAIZ (kiri), Mohd Rafee dan Muhammad Ashraf (kanan) bersama piala dan hadiah selepas memenangi pertandingan pidato IPGM 2009 di Kuala Lumpur, baru-baru ini. |
AKTIVITI perbahasan mahupun berpidato penting kerana ia mampu meningkatkan kemahiran berkomunikasi yang menjadi elemen utama keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran.
Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Datin Asariah Mior Shaharuddin, berkata penguasaan kemahiran itu membantu guru melaksanakan tugas mereka dengan lebih baik, selain memudahkan pemahaman pelajar.
Sehubungan itu, katanya, guru perlu mengasah dan menguasai kemahiran berkenan seawal menerima latihan perguruan lagi.
Beliau berkata, golongan berkenaan juga perlu memantapkan penguasaan diri dengan pelbagai kemahiran tambahan bagi memastikan pelajar menerima pengajaran dengan baik.
“Sesuatu ilmu dapat dikuasai menerusi penyampaian berkesan dan ia boleh dilaksanakan menerusi proses pengajaran yang sempurna, selain penyaluran maklumat secara terus,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penutup Pertandingan Pidato Institut Pendidikan Guru Malaysia Peringkat Kebangsaan 2009 di Institut Pendidikan Guru Malaysia, Kampus Bahasa Melayu (IPGM KBM), Lembah Pantai, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Pertandingan Pidato Piala Datin Asariah disertai 26 IPGM seluruh negara itu dimenangi peserta Institut Perguruan Islam Selangor, Mohd Rafee Mohamad.
Tempat kedua peserta IPGM KBM, Ahmad Faiz Ahmad Suhaime, manakala ketiga pelatih IPGM Kampus Bahasa Antarabangsa, Muhammad Ashraf Ahmad.
Asariah berkata, menerusi program ilmu itu juga, pelatih dapat mendidik diri dan membudayakan ilmu menerusi pembacaan serta rujukan tambahan.
Proses itu juga, katanya, menggalakkan mereka membaca secara berterusan, manakala maklumat diperoleh pula memantapkan lagi penguasaan pengetahuan untuk dikongsi bersama pelajar.
Berita Harian Online: 4 Ogos 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan