Selasa, 11 Ogos 2009

Kementerian tentukan garis panduan tutup sekolah

MELAKA 10 Ogos - Kementerian Pelajaran akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan bagi mendapatkan garis panduan standard penutupan sekolah akibat penularan wabak selesema babi atau influenza A (H1N1) di negara ini.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, pihaknya mahu garis panduan itu diguna pakai di semua negeri dan daerah untuk menentukan penutupan sesebuah sekolah.

Menurut beliau, sebanyak 82 buah sekolah di Melaka iaitu 47 buah sekolah rendah dan 35 sekolah menengah terpaksa ditutup sejak negeri itu dilanda wabak H1N1.

Sehingga kini, katanya, sebanyak 63 buah sekolah di negeri ini masih ditutup dan menjadikannya penutupan sekolah yang terbanyak ketika ini.

"Saya dapati kebanyakan sekolah ini ditutup atas dasar yang agak konservatif. Bila terdapat demam saja, sekolah itu ditutup dan ini berbeza pula di negeri-negeri lain," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri taklimat Pencegahan Penularan Wabak H1N1 bersama Jabatan Pelajaran negeri dan Jabatan Kesihatan negeri di Bukit Beruang di sini hari ini.

Ka Siong berkata, perkara itu akan dibincangkan dengan Kementerian Kesihatan untuk mendapatkan garis panduan penutupan sekolah dengan lebih jelas seperti yang pernah dibincang dalam Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara sebelum ini.

Tambahnya, penutupan kelas atau pengasingan di kalangan pelajar yang dijangkiti H1N1 sahaja mungkin merupakan jalan terbaik bagi mengatasinya tanpa menjejaskan pembelajaran kelas-kelas lain.

Menurut Ka Siong, garis panduan itu penting bagi memastikan orang ramai tidak keliru dengan cara Kementerian Pelajaran menangani penularan wabak tersebut.

Utusan Malaysia Online: 11 Ogos 2009

Tiada ulasan: