Jumaat, 14 Ogos 2009

Sekolah disaran solat hajat

JOHOR BAHRU 13 Ogos - Sekolah dan warga pendidik di negeri Johor disaran menganjurkan solat hajat dan doa bagi menolak bala akibat penularan wabak influenza A (HINI) atau selesema babi.

Timbalan Pengarah Pelajaran Johor, Markom Giran berkata, surat pekeliling mengenai perkara itu telah diedarkan kepada semua sekolah di negeri ini pada 10 Ogos lalu.

Beliau berkata, dua tarikh telah dicadangkan iaitu esok dan 21 Ogos ini dan risalah panduan doa itu turut disertakan oleh Unit Operasi Dakwah (UOD), Sektor Pendidikan Islam.

"Di sekolah harian biasa di negeri ini pada setiap hari Jumaat diadakan majlis membudayakan al-Quran bagi sesi pagi dan petang.

"Selepas majlis membudayakan al-Quran itu, warga pendidik menunaikan solat hajat dan memanjangkan doa supaya dijauhkan daripada bala penyakit ini dan mencegah wabak itu secara besar-besaran agar terkawal," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Utusan Malaysia Online: 14 Ogos 2009

Tiada ulasan: