Jumaat, 7 Ogos 2009

SMK Gaal dijadikan sekolah dalam kebun

PASIR PUTEH 6 Ogos - Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gaal mempunyai pendekatan tersendiri untuk menjana tabung kewangan bagi membiayai kegiatannya.

Ini termasuk mengubah suasana persekitaran sekolah itu sebagai 'sekolah dalam kebun' dengan memanfaatkan sebahagian daripada keluasan kawasan seluas 1.8 hektar itu dengan tanaman kepala sawit.

Sejak tahun lalu, sejumlah 150 pokok sudah ditanam dan 300 pokok lagi akan menyusul kemudian setelah kawasan persekitaran yang dipenuhi dengan pokok hiasan yang telah berusia, dibersihkan.

Yang Dipertuanya, Redzuan Setapa berkata, sumber pendapatan yang diperoleh daripada hasil pertanian itu kelak boleh menjadi pendapatan kekal bagi PIBG melaksanakan pelbagai program tambahan untuk kecemerlangan pelajar tanpa menghadapi masalah kewangan.

"Penanaman pokok yang boleh memberi sumber pendapatan yang berterusan itu dilaksanakan secara gotong-royong di kalangan ibu bapa dan guru-guru.

''Ia bermatlamatkan untuk menjana kewangan bagi tujuan pendidikan pelajar," katanya ketika ditemui di majlis gotong-royong PIBG Sekolah Dalam Komuniti Perpaduan di sekolah itu kelmarin.

Kelmarin, lebih 1,000 warga sekolah dan ibu bapa berkerjasama menebang pokok-pokok hiasan dan peneduh bagi tanaman kelapa sawit.

Redzuan berkata, konsep sekolah dalam kebun boleh dilaksanakan di sekolah itu kerana struktur tanahnya yang subur dan sesuai untuk pelbagai jenis tanaman termasuk buah-buahan tempatan.

Beliau berkata, kerjasama padu di antara ibu bapa, pelajar dan guru yang memahami rancangan dan hala tuju PIBG dapat menjayakan setiap program yang dirancangkannya.

"Persekitaran sekolah akan lebih menarik sekiranya diwujudkan kawasan penanaman bagi pokok rambutan, durian, duku dan langsat selain pokok kelapa sawit.

''Ia akan menampakkan dekorasi kehijauan kebun apabila ia diurus dengan terancang," katanya.

Pengetua SMK Gaal, Awang Daud berkata, program yang dilaksanakan secara berterusan oleh PIBG turut menjayakan sekolah sebagai pusat komuniti di mana penduduk setempat membantu meningkatkan prestasi pelajar.

Ini juga, katanya, turut membuktikan kesungguhan kepimpinan PIBG yang diamanahkan oleh ibu bapa untuk bergading tenaga bersama guru-guru demi kecemerlangan sekolah dalam pelbagai bidang pendidikan.

Utusan Malaysia Online: 7 Ogos 2009

Tiada ulasan: