Selasa, 11 Ogos 2009

SMK Sultanah Asma juara pancaragam sekolah 2009



PANCARAGAM SMK Sultanah Asma, Kedah bersorak gembira apabila menjuarai Pertandingan Pancaragam Peringkat Kebangsaan 2009 di Stadium Perbadanan Pasir Gudang, Johor Bahru, kelmarin.


JOHOR BAHRU 10 Ogos - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultanah Asma, Kedah, muncul juara Pertandingan Pancaragam Sekolah-Sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan 2009 dengan persembahan penuh bertenaga di Stadium Perbadanan, Pasir Gudang di sini semalam.

Sekolah tersebut pernah muncul sebagai johan dalam pertandingan sama pada 1999, 2003 dan 2007.

Selain itu, SMK Sultanah Asma juga pernah menjuarai Pertandingan Pancaragam Dunia di Itali seperti yang diraih oleh SMK Victoria pada Julai lalu.

Pasukan pancaragam SMK Sultanah Asma yang berjaya mengalahkan 10 buah pasukan lain itu, membawa pulang wang tunai RM5,000, sijil, pingat dan trofi.

Antara lagu yang dipersembahkan oleh pasukan yang turut menerima Sijil Anugerah Emas itu adalah Over The Rainbow dan Fantasia Bulan Madu.

Sementara itu, tempat kedua dimenangi oleh Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMKJ) Sam Tet, Perak yang membawa pulang wang tunai RM3,000, sijil, pingat dan trofi dan ketiga dimenangi oleh SMJK Chung Hwa Wei Shin, Terengganu dengan wang tunai RM2,000.

Lain-lain sekolah yang turut bertanding adalah SMJK Kwang Hua, Selangor, SMK St. John, Kuala Lumpur, SMJK Chung Hwa, Kelantan, SMJK Jit Sin, Pulau Pinang, SMK Derma, Perlis, Methodist Girl School, Pahang dan SMK St. Joseph, Sarawak.

Pertandingan yang diadakan setiap tahun itu bertujuan menggalakkan penubuhan pasukan pancaragam di sekolah, selain meningkatkan minat dalam pancaragam.

Utusan Malaysia Online: 11 Ogos 2009

Tiada ulasan: